Badminton

Elemen kejutan pemain muda – Choong Hann

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Pasangan beregu lelaki Aaron Chia (kiri) dan Son Wooi Yik dijangka memperkuatkan pasukan pada kejohanan tersebut.

PENGARAH Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann memaklumkan senarai pemain yang akan dipilih bagi membawa cabaran negara di kedua-dua kejohanan Piala Sudirman dan Piala Thomas/Uber akan diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) pada Sabtu ini.

Jelasnya, dia memberi bayangan akan ada kejutan senarai pemain muda di dua kejohanan berkenaan.

“Kita sedang dalam penilaian akhir (untuk memilih pemain) yang mana salah satu daripada penilaian itu adalah berdasarkan keputusan daripada kejohanan ranking dalaman .

“Dengan barisan pemain yang ada, saya akui kita agak ketinggalan berbanding pasukan seperti Jepun dan Indonesia namun saya percaya pemain muda kita juga mempunyai elemen kejutan.

“Diharapkan mereka boleh buktikan yang kita mempunyai barisan pemain masa depan yang bagus,” kata Choong Hann.

Saingan Piala Sudirman akan berlangsung di Vantaa, Finland bermula 26 September hingga 3 Oktober dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir.

Bagi saingan Piala Thomas/Uber pula, ia akan berlangsung di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober depan.

Di Aarhus, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, Kanada dan England manakala skuad wanita akan bertemu China, Denmark dan Kanada dalam Kumpulan D.

Choong Hann, berkata keputusan untuk menyenaraikan pemain muda kali ini dibuat bagi memberi pendedahan awal kepada mereka beraksi dalam kejohanan utama sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kita sudah habis satu kitaran Olimpik (Tokyo 2020) dan kalau kita mahu buat persiapan menghadapi kitaran Olimpik yang baharu (Paris 2024), kita perlu bermula dari sekarang.

“Kejohanan utaam ini akan memberi cabaran kepada mental dan keupayaan pemain untuk mengatasi tekanan pada tahap tertinggi. Ini akan menjadi pengalaman dan plaftform yang penting untuk kita bina generasi pemain yang akan datang,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: