
Oleh : SUBKHI SUDARJI
SELEPAS 18 perlawanan Liga Premier 2021, akhirnya detik kemenangan menjadi milik skuad Projek FAM-MSN selepas menewaskan Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV , Kota Bharu.
Dibarisi pemain lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sering tewas dengan jaringan besar, skuad bimbingan Yusri Che Lah membalas segala cemuhan dan kritikan dengan tiga mata diraih.
Bagi Yusri, aksi yang dipamerkan barisan pemainnya petang semalam bukanlah aksi terbaik namun rezeki memihak kepada kami semua.
“Kami datang dengan harapan tidak boleh dengan jaringan besar sebagaimana dilalui pada perlawanan pusingan pertama apabila tewas kepada pasukan lawan.
“Cuma kali ini kami mengambil peluang yang dimiliki dan kejayaan ini hadir tepat pada masa yang sangat-sangat pemain perlukan,” jelasnya.
Diminta mengulas kemungkinan tiga mata pertama diraih mampu membuyka mata pengkritik, Yusri menyifatkan sukar untuk memuaskan hati semua pihak namun pasukan akan tetap berusaha mencapai kejayaan.
“Bagi kami kemenangan ini akan buat pasukan untuk terus berusaha, bagaimana budak dari pusat latihan yang jauh dari kawasan bandar membuktikan apa yang kita tidak bayangkan.
“Tiga mata ini memberi kami sinar untuk perlawanan seterusnya, teruskan berdoa buat kami semua,” katanya.
Ini merupakan kemenangan pertama pasukan yang sebelum ini hanya mencatat 14 kekalahan dan tiga kali seri sepanjang saingan musim ini.
Jaringan tunggal Azhad Harraz Arman pada minit ke-77 cukup untuk pelawat membawa pulang tiga mata berharga
Add Comment