Bola Sepak

Stuart Ramalingan dilantik CEO baharu MFL


Stuart akan menggalas jawatan CEO MFL berkuatkuasa 1 September nanti.

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuatkuasa 1 September 2021.

Pelantikan Stuart melengkapkan carta organisasi MFL selepas mantan CEO, Datuk Ab Ghani Hassan telah dipilih menjadi Presiden MFL bagi menggantikan Datuk Haji Hamidin Mohd Amin yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada 12 Ogos 2021.

Jelas, Ab Ghani, keputusan melantik Stuart yang berkuatkuasa menjadi CEO MFL baharu bermula 1 September 2021 dilihat satu keputusan simbiosis yang bermanfaat kepada industri khususnya kepada pengurusan bola sepak tempatan.

“Hari ini saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi menentukan CEO MFL baharu selepas saya dipilih menjadi Presiden MFL pada minggu lepas.

“Saya bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara telah bersetuju untuk melantik Stuart sebagai CEO MFL baharu.

“Seperti saya katakan pada sesi sidang media pada minggu lalu, pengalaman antara kriteria penting buat CEO MFL di mana saya yakin bahawa kehadiran Stuart sudah pasti bakal memberikan anjakan paradigma kepada senario bola sepak tempatan.

“Saya ingin mengalu-alukan kedatangan Stuart dan saya percaya beliau mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada MFL,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, sebentar tadi.

Sementara itu, Stuart berkata, pengumuman ini mencetuskan emosi yang bercampur-baur dan gembira serta berpuas hati dengan tugasan yang telah dilaksanakan di FAM.

“Pastinya saya berasa sedih meninggalkan organisasi yang saya sangat berbesar hati dapat berkhidmat selama ini. Amat berbangga dapat bekerja di bawah teraju Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di mana saya mempelajari banyak perkara sepanjang 37 bulan terakhir ini.

“Sesungguhnya ungkapan terima kasih seakan tidak cukup untuk saya luahkan kepada Hamidin kerana beliau adalah individu yang bertanggungjawab membawa saya kembali dalam bola sepak Malaysia serta membimbing saya dalam setiap langkah,” jelasnya.

Tambah Stuart lagi, mengenai tugasnya di MFL dia ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden MFL, Datuk Ab Ghani dan seluruh Ahli Lembaga Pengarah MFL atas kepercayaan mereka.

Pada masa sama Stuart juga ingin menyelesaikan beberapa perkara di FAM sebelum menyertai MFL 1 September nanti.

“Masih ada perkara yang perlu saya selesaikan bersama Exco dan rakan sekerja untuk memastikan peralihan ini berjalan lancar sebelum saya mula berbicara mengenai tugasan saya yang seterusnya di MFL.

“Rasa hormat dan perhatian saya terhadap peralihan dalam keluarga FAM ini adalah keutamaan saya buat masa ini.

“Untuk menjawab soalan perpindahan saya ke MFL adalah lebih sesuai untuk dijawab sedikit masa lagi di mana saya dapat memberikan anda maklum balas yang lebih terperinci mengenai sebarang persoalan anda semua.

“Oleh itu saya berharap dapat menjawab sebarang persoalan dan langkah-langkah yang dirancang dalam sidang media secara rasmi pada 25 Ogos 2021. Terima kasih kerana memahami,” ujar Stuart.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d