Bola Sepak

Devan ada formula pastikan Negeri Sembilan FC bergelar juara Liga Premier


Penyerang NSFC, Akono cuba melepaskan diri dari kawalan pemain tuan rumah yang berkesudahan kemenangan memihak NSFC 2-0 ke atas KUFC.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

NEGERI Sembilan FC perlu menang sekurang-kurangnya tiga daripada empat baki perlawanan seandainya ingin bergelar juara Liga Premier musim ini dan beraksi di pentas Liga Super 2022.

Pengendalinya, K Devan berkata, kerja keras yang diterjemahkan barisan pemainnya perlu diteruskan pada baki perlawanan akan datang tanpa keciciran mata.

“Peluang masih ada untuk bergelar juara dan kita perlu kerja keras dalam tiga aksi ditempat lawan sebelum mengakhirnya di Paroi.

“Kami akan bertandang lagi ke Kota Bharu menentang Kelantan FC (27 Ogos), Kuching City FC( 1 September) dan Sarawak United FC (10 September) ditempat lawan sebelum perlawanan terakhir berdepan PDRM FC di Stadium Paroi.

“Empat perlawanan ini kami perlu menang sekurang-kurangnya tiga perlawanan, tidak boleh keciciran mata lagi jika ingin menjadi juara,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kelantan United FC di Kota Bharu, petang semalam.

Pada perlawanan tersebut, pelawat memperolehi gol seawal minit ke-10 menerusi sepakan penalti kapten pasukan Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak dan penyerang import dari Togo, Francis Kone pada minit ke-81.

Tiga mata yang diraih NSFC ini memastikan mereka kembali menerajui kedudukan teratas Liga Premier selepas mencatatkan kemenangan 2-0 .

Negeri Sembilan FC kini mengumpul 32 mata selepas 16 perlawanan, mengatasi Sarawak United FC dengan kelebihan satu mata, yang meraih 31 mata selepas 15 perlawanan, manakala Kelantan United berada di tempat kelapan dengan 20 mata selepas 17 perlawanan.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: