Bola Sepak

Projek naturalisasi ditangguhkan


Liridon pemain ketiga yang dinaturalisasikan bagi memperkuatkan Harimau Malaya.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PROJEK naturalisasi pemain akan ditangguhkan buat sementara waktu sehinggalah laporan lebih terperinci dikemukakan oleh tiga jawatankuasa.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, projek naturalisasi akan diperincikan oleh tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal dan Belia dibawah Datuk S Sivasundaram, Jawatankuasa Naturalisasi dibawah Datuk Yusoff Mahadi serta JawatanKuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan.

Tegasnya, keputusan mengenai projek naturalisasi sama ada diteruskan atau sebaliknya akan diumumkan selepas menerima laporan daripada ketiga-tiga jawatankuasa tersebut.

“Projek naturalisasi telah menjadi isu di mana sebahagian netizen dan peminat yang sokong serta tidak menyokong. Ia adalah salah satu perkara yang dibenarkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Mesyuarat tadi telah memutuskan untuk menangguh projek naturalisasi buat sementara waktu bagi menunggu laporan daripada tiga jawatankuasa itu untuk memperhalusi perkara tersebut sebelum dibincangkan semula oleh Exco.

“Mungkin proses akan mengambil masa dua ke tiga bulan dan selepas itu kita akan buat keputusan terbaik perlu dibuat.

“Namun, kelab-kelab yang ingin menaturalisasikan pemain seperti dilakukan Pahang kepada (Mohamadou) Sumareh tiada halangan,” kata Hamidin dalam sidang media secara maya, hari ini.

De Paula dilihat gagal memberikan impak buat pasukan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di UAE.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025, di Wisma FAM, hari ini.

Untuk rekod, dua pemain naturalisasi yang telah direkruit oleh FAM iaitu Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi manakala proses Mohamadou Sumareh dilakukan pasukan Pahang.

Jelas Hamidin, buat masa ini hanya De Paula dan Liridon sahaja dinaturalisasi oleh FAM dan tiada sebarang perancangan untuk menambah kuota dalam masa terdekat.

“Buat masa ini hanya dua pemain ini sahaja tiada penambahan. Kalau kita nak fikirkan (tambah) mungkin untuk pusingan seterusnya, itupun jika kita setuju projek ini diteruskan,” ujarnya.

Pasukan negara akan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual diadakan Februari tahun depan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading