Bola Sepak

FAM kekal ‘bela’ Harimau Malaya


Skuad Harimau Malaya akan terus dipertingkatkan terutamanya dari segi pemilihan pemain berdasarkan minit perlawanan.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

SKUAD Harimau Malaya akan terus berada di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan beberapa penambahbaikan termasuklah pemilihan pemain yang lebih terbuka.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihak telah mengadakan pertemuan dengan mantan presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas berakhirnya pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Dalam pertemuan panjang tersebut, saya memahami perasaan Tunku bila menyuarakan hasrat untuk menguruskan skuad kebangsaan jika diberikan peluang.

“Kata sepakat telah dicapai, Harimau Malaya kekal untuk terus berada di bawah FAM, perkara ini telah selesai , FAM akan terus kendalikan FAM, TMJ akan terus bagi sokongan seperti pemain-pemain dari JDT kekal seperti biasa,” jelasnya pada sidang media secara maya selepas Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025, hari ini.

Untuk rekod 14 Jun lalu,  Tunku Ismail menyatakan hasrat kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menguruskan skuad kebangsaan jika diberikan peluang.

Menerusi hantaran di Instagram storynya, Tunku Ismail menjelaskan masalah utama yang ada pada skuad kebangsaan adalah kekurangan daya kepimpinan sehingga membuatkan sesetengah pemain tidak mengambil serius apabila mewakili negara.

Hamidin berkata, isu ini timbul ekoran kekalahan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe pada dua aksi awal Harimau Malaya ditangan UAE dan Vietnam.

“TMJ telah menyatakan betapa pentingnya pemilihan pemain dari segi minit perlawanan, banyak perkara dibincangkan bersama TMJ.

“Mungkin ada perubahan dalam panggilan pemain akan datang, TMJ kemukakan cadangan dan kita akan perbaiki untuk panggilan akan datang bagi memastikan persiapan pasukan pada kelayakan Piala Asia 2023.

“Tuanku akan terus sokong Harimau Malaya dan berjanji akan sama-sama membantu,” katanya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading