Bola Sepak

Harimau Kumbang tanpa 3 tonggak utama ke Alor Setar.


Trucha mahu pemainnya bangkit dan meraih kemenangan pada aksi menentang Kedah malam ini.

HARIMAU Kumbang bakal bertandang ke Stadium Darul Aman berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan skuad yang sedikit tempat apabila kehilangan beberapa tonggak utama pasukan ekoran penggantungan perlawanan.

Ryuji Utomo (pertahanan), Khairu Azrin Khazali (tengah) dan Casagrande (penyerang) antara pemain utama yang tidak dapat diturunkan pada aksi ditempat lawan malam ini dan diakui pengendali Penang FC, Tomas Trucha mengenai perancangan mereka banyak terjejas.

“Saya tidak nafikan pasukan serba sedikit terganggu tanpa tiga pemain utama kerana penggantungan perlawanan, tetapi saya optimis pemain yang gantikan tempat mereka masih boleh membantu kemenangan pasukan.

“ Situasi David Rowley juga masih saya pantau selepas tidak bermain dengan Melaka dan semuanya bergantung kepada situasi latihan terakhir yang kita akan jalani bagi menentukan sama ada dia boleh diturunkan, ” katanya.

Pemain tengah Penang FC, Khairulazrin tidak akan diturunkan ekoran layangan kad merah diterima pada aksi menentang Selangor FC.

Ketiadaan Utomo di bahagian pertahanan dijangka akan digalas Abdul Latiff Suhaimi manakala David Rowley atau Fadhil Idris berpeluang diturunkan dalam kesebelasan utama bagi mengisi posisi Khairu Azrin.

Sementara itu , penjaring gol kemenangan Penang semasa berdepan Melaka, Sheriddin Boboev hampir pasti menjadi taruhan utama Trucha selain dibantu Endrick Dos Santos.

Namun dengan semangat dan keazaman tinggi, Trucha tetap mengharapkan anak didiknya dapat meneruskan rentak kemenangan dan mereka kini sudah sedia bangkit selepas kekalahan 1-4 di tangan Selangor FC , 31 Julai lalu.

“ Saya belum memikirkan dari segi itu bagi mendapatkan tempat ketiga jika kita menang dengan Kedah kerana banyak kali saya jelaskan kami hanya berikan tumpuan dari satu ke satu perlawanan.

“ Buat masa ini saya rasakan pemain-pemain telah melakukan tugas dengan cemerlang walaupun perlawanan sebelum itu kami tewas 1-4 dengqn Selangor namun mereka bangkit untuk menang 2-1 semasa berdepan Melaka.

“ Secara keseluruhan sepanjang musim ini, saya rasa kami telah buktikan banyak perkara dan harap kami mampu meneruskan rentak cemerlang ini sehingga penghujung musim,” tegasnya.

Boboev menjadi taruhan mengisi kekosongan ditinggalkan Casagrande.

Penang FC yang kini berada di tangga ketiga berpeluang menjarakkan kedudukan dari Selangor dengan perbezaan lima mata jika mampu mengatasi Kedah selain merapati kedudukan Terengganu FC di tangga kedua melalui jurang tiga mata.

Selepas berdepan Kedah, Penang akan terbang ke Kota Kinabalu bagi pertemuan dengan Sabah pada Ahad di Stadium Likas.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading