EPL

Salah rakam rekod baharu Liverpool


Salah meraikan jaringannya ketika aksi bertemu Norwich.

Oleh: JJFIRDAUS

PENYERANG sensasi Liverpool, Mohamed Salah berjaya mencipta sejarah baharu buat kelab apabila muncul pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan pembukaan lima musim berturut-turut.

Pemain kelahiran Mesir itu melengkapkan rekod gemilang ini apabila menjaringkan satu gol dalam pertemuan dengan Norwich City di Carrow Road dalam perlawanan pembukaan musim 2021-2022 Liga Perdana Inggeris.

Kejayaan Salah mencipta rekod baharu kelab ini membuktikan mengapa dia diberikan gelaran ‘Opening Fixture Specialist’ oleh media Inggeris  sekali lagi selepas berjaya menjaringkan gol pada aksi pembukaan.

 

Salah memulakan kariernya bersama Liverpool pada musim 2017-2018 selepas berpindah dari Roma dan sejak itu dia tidak lagi menoleh kebelakang dan terus menjadi penyerang prolifik buat Liverpool setanding Michael Owen, Fernando Torres dan Luis Suarez.

Rekod cemerlang ini dimulakan Salah sejak awal penglibatannya bersama Liverpool apabila jaringannya berjaya mengikat Watford 3-3 dalam perlawanan pembukaan musim 2017-2018.

Salah membuka akaun jaringan untuk musim 2018-2019 dengan cemerlang apabila membantu Liverpool membenam West Ham United 4-0 dan muncul penjaring terbanyak kelab berkongsi bersama Sadio Mane dengan 22 gol.

Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris buat kali pertama selepas 30 tahun pada musim 2019-2020 dan Salah sekali lagi cemerlang menjaringkan gol dalam perlawanan pembukaan ketika mengenepikan cabaran Norwich City 4-1 di Anfield.

Gol sempurna Salah mengukuhkan jaringan Liverpool pada aksi awal pagi Ahad.

Leeds United menjadi mangsa amukan Salah pada pembukaan musim 2020-2021 apabila hatriknya memastikan Liverpool memulakan musim sebagai penyandang juara dengan kemenangan 4-3 di hadapan penyokong sendiri.

Musim 2021-2022 yang menyaksikan kehadiran semula penyokong dengan kapasiti penuh menyaksikan Salah sekali lagi cukup sempurna dengan jaringan cantik untuk memastikan Liverpool pulang dengan tiga mata penuh dari Norwich dengan kemenangan 3-0.

Pertaruhan dan kepercayaan pengendali Liverpool Jurgen Klopp keatas Salah nyata berbaloi dengan persembahan yang cukup cemerlang dan menghadirkan kegembiraan kepada setiap penyokong Liverpool di England mahupun di luar negara.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: