Bola Sepak

KLFC dan SFC ulangi pencapaian lalu


 

Paulo Josue (tengah) menjaringkan gol buat tuan rumah hasil sepakan percuma.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

KUALA Lumpur City FC (KLFC) dan Selangor FC (SFC) mengulangi pencapaian pada pusingan pertama apabila kedua-dua pasukan sekali lagi mencatatkan keputusan seri 1-1 pada saingan Liga Super di Stadium KLFA, Cheras sebentar tadi.

Pada pertembungan Derbi Lembah Klang pusingan pertama Liga Super 2021 pada 13 Mac  lalu, kedua-dua pasukan merekodkan keputusan seri 1-1 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Memulakan aksi dengan keyakinan memburu jaringan awal, KLFC mempamerkan aksi agresif menyebabkan pasukan pelawat terpaksa bertahan.

Memasuki minit ke-20 barulah Selangor FC berjaya mengimbangi perlawanan dengan mengatur beberapa gerakan ke gawang lawan.

Ketua pasukan KLFC, Paulo Josue memastikan tuan rumah dihadapan pada minit ke-40 apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti menerjah ke penjuru kiri gawang Selangor FC untuk menewaskan Khairulazhan Mohd Khalid.

Bagaimanapun kegembiraan skuad warga kota tidak bertahan lama apabila pelawat menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian hasil jaringan Oliver Buff.

Memasuki babak kedua,  The City Boys berpeluang mendahului lawan melalui penyerang baharu, Kyrian Nwabueze pada minit ke-63 namun tolakan lemahnya gagal menewaskan  Khairulazhan.

Berbaki 15 minit terakhir babak kedua, perlawanan lebih rancak dipamerkan kedua-dua pasukan namun gagal memperolehi jaringan kedua untuk keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: