
KELAB Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC menjangkakan bakal berdepan perlawanan yang lebih sukar menentang Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Bolasepak Cheras, malam esok.
Pengendali PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, pandangan ini bersandarkan dengan perubahan pemain dan jurulatih yang dilakukan oleh lawan mereka itu.
Namun, beliau percaya barisan pemain telah melakukan tugas yang cukup baik dalam tempoh persediaan lebih dua bulan ini sepanjang Liga Malaysia berehat dan berharap dapat mengatur langkah kanan dalam perlawanan pertama selepas liga bersambung ini.
“Setakat ini saya boleh katakan pasukan memang memberikan kerjasama yang cukup baik dalam latihan walaupun dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
“Jadi, momentum mereka memang tengah baik jadi saya hanya nampak sekarang pemain-pemain cukup teruja untuk menanti liga bersambung pada minggu ini.
“Kita tidak boleh jadikan prestasi pada pusingan pertama tempoh hari sebagai ukuran, dan untuk baki perlawanan ini saya anggap sebagai permulaan baru, dan sasaran kami memang ingin kutip tiga mata ke atas Kelantan United,”jelasnya.
PDRM FC ketika ini berada dikedudukan ke lapan dengan hanya mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan, dua seri dan enam kekalahan manakala KUFC dua tangga di atas mereka selepas meraih 16 mata hasil lima kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.







Add Comment