Bola Sepak

Sang Badak jalani perlawanan latihan bersama JDT II

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Kemampuan Ivancic bakal diuji pada aksi menentang JDT II.

KEMAMPUAN Josip Ivancic dan Nazirul Naim bakal diuji sepenuhnya menjelang dua perlawanan latihan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Johor Bharu.

Aksi pertama yang bakal diadakan malam ini dan seterusnya pada 19 Julai di  Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin pastinya akan menilai kemampuan serta kelemahan skuad Sang Badak yang bakal menentang Petaling Jaya City FC sebaik saingan Liga Super bersambung pada 24 Julai nanti.

Bagi pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, perlawanan latihan persahabatan ini amat penting bagi mencari keserasian, kelebihan serta kelemahan yang ada sebelum pertemuan menentang PJ City FC nanti.

Ivancic dan Nazirul serta dua pemain baru yang dibawa masuk selepas jendela perpindahan kedua kini semakin serasi bersama pasukan dan mereka sudah mengerti dan memahami corak permainan pasukan.

“Kedua-dua pemain itu akan diuji dalam perlawanan latihan persahabatan dan berharap mereka akan cepat faham dan mudah beradaptasi dengan apa yang menjadi game plan kita” tegas Kurniawan.

Barisan pemain Sabah FC giat menjalani latihan sebagai persiapan saingan Liga Super yang kembali berlangsung mula 24 Julai nanti.

Pada masa sama, Kurniawan memaklumkan kesemua 26 pemain yang dibawa ke Johor Bahru akan diberi peluang bermain dalam perlawanan latihan persahabatan itu.

“Mereka semua akan dapat merasakan tekanan dalam perlawanan sekaligus memperbaiki tahap kecergasan  kerana Sabah FC akan bermain sebanyak 9 perlawanan dalam tempoh 27 hari dan kesemua pemain harus bersiap sedia untuk diturunkan dalam baki saingan Liga Super,” tegasnya,

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: