Badminton

Zii Jia mampu tewaskan Chen Long


Chong Wei mengadakan pertemuan secara maya bersama barisan atlet Olimpik 2020 serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan Lee Zii Jia, mempunyai kelebihan dari segi kekuatan dan ketangkasan sekiranya bertemu Chen Long, pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berdasarkan undian yang telah dijalankan Zii Jia diundi dalam Kumpulan M bersama-sama dua pemain Eropah, Brice Leverdez dari Perancis dan Artem Pochtarov dari Ukraine, manakala Chen Long pula bakal berdepan cabaran pemain Sepanyol Pablo Abian dan Raul Mist dari Estonia, dalam Kumpulan N.

Zii Jia yang menghuni ranking kelapan dunia diramal berdepan Chen Long di pusingan kedua atau enam belas terbaik, sekiranya kedua-dua pemain berjaya melepasi peringkat kumpulan pada saingan di temasya sukan terbesar dunia itu.

Bagi Chong Wei,  faktor umur Zii Jia yang baru berusia 23 tahun dan jauh lebih muda membuatkan juara All England 2021 itu, memiliki kelebihan ke atas pemain China itu yang sudah menjangkau usia 32 tahun.

“Chen Long ketika ini dibimbing bekas jurulatih saya Li Mao, dan apa yang pasti, beliau sudah semestinya sedang memantapkan kemahiran anak buahnya, menjelang aksi di Tokyo.

“Namun, saya difahamkan, Chen Long tidak bermain dengan baik pada kejohanan tempatan di China,” katanya.

Chong Wei yang Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2020, bersedia berkongsi strategi dan taktikal kepada Zii Jia, sekiranya bertemu Chen Long nanti.

Berbekalkan pengalaman dimiliki menentang Chen Long yang menewaskannya 18-21, 18-21, pada final Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil, Chong Wei mengakui prestasi semasa Chen Long yang merupakan pemain nombor enam dunia itu kekal ‘misteri’, selepas tidak beraksi lebih setahun pada mana-mana kejohanan antarabangsa susulan pandemik Covid-19.

Rekod pertemuan Zii Jia dan Chen Long adalah seimbang, selepas terikat 2-2, namun Zii Jia dilihat mempunyai sedikit kelebihan apabila menewaskan Chen Long 21-12, 21-18 pada peringkat suku akhir kejohanan badminton All England 2020, yang merupakan pertembungan terakhir mereka.

Kejohanan di Birmingham itu juga adalah aksi terakhir Chen Long di peringkat antarabangsa, sebelum dijadual membuat kemunculan semula pada Olimpik Tokyo di Musashino Forest Sport Plaza.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading