Bola Sepak

“Pemilihan pemain macam ‘maraton’, skuad bola sepak wanita mungkin hanya pelengkap kumpulan”


Angela mengakui Malaysia mempunyai ramai pemain wanita berbakat, namun tiada hala tuju yang teratur.

 

Oleh: SURYATI MOHD NOR

SEBUT sahaja bola sepak wanita, pastinya ada yang skeptikal kerana tiada apa yang menarik untuk diperkatakan dari segi pencapaian peringkat kebangsaan.

Pemain ramai, bakat pun ada, namun tiada pededahan dan perhatian sewajarnya seperti mana yang dilakukan kepada pasukan lelaki menjadikan skuad ini terbiar.

Mencuri perhatian dan tanda tanya peminat-peminat bola sepak tanah air apabila skuad wanita ini bakal beraksi di pentas Kelayakan Piala Asia 2022 September ini apabila hanya lebih kurang dua bulan sahaja lagi pemain-pemain dan jurulatih perlu bekerja keras melakukan persiapan.

Bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan, Angela Kais berkongsi pandangan mengenai situasi semas pasukan negara yang dianggap sebagai ‘kucar kacir’.

Sesi latihan skuad kebangsaan pada tahun 2018. Foto: FAM

“Realitinya memang tidak ‘best’ untuk didengari tetapi itulah hakikatnya. Zaman saya sudah berlalu, tetapi saya tetap aktif dalam bola sepak sebagai jurulatih.

“Apa yang pasti, situasi bola sepak wanita 10 atau 20 tahun lalu tidak ada apa-apa yang berubah sehingga sekarang. Kita ramai pemain yang berbakat, tapi sayangnya tidak ada program pembangunan yang baik dan teratur seperti pasukan lelaki.

“Lebih buruk lagi, pemilihan pemain-pemain seperti ‘maraton’ memandangkan pasukan wanita tidak ada liga seperti pasukan lelaki, jadi pemain-pemain yang dipilih dalam pasukan senior lebih kepada orang yang sama.

“Begitu jugalah yang berlaku sebelum-sebelum ini,” jelasnya kepada CakapSukan.

Bekas pemain kelahiran Sarawak berusia 41 tahun ini mengambil keputusan bersara pada tahun 2017 iaitu penampilan terakhir Sukan SEA bersama skuad kebangsaan.

Kini dia memberi fokusnya kepada kerjaya sebagai anggota polis dan dalam masa sama bergelar penolong jurulatih bagi pasukan bola sepak wanita Melaka United.

Menurut Angela atau lebih mesra dipanggil Angie, dia agak kecewa kerana pasukan wanita  tidak dipandang dalam pembangunan bola sepak wanita negara.

“Orang-orang yang mengurusnya ada, tetapi tidak ada yang berubah sejak dulu. Saya sebagai bekas pemain dan memiliki lesen kejurulatihan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kini meneruskan minat dengan  mencurahkan pengalaman dan cuba membantu membangunkan pasukan wanita Melaka United yang ternyata sekali ada ramai pemain-pemain berbakat,” ujar Angie.

Dalam pada itu, Angie tidak menafikan dia berasa bimbang dengan prestasi skuad negara pada aksi kelayakan Piala Asia 2022 ini.

“Terus terang saya katakan bahawa kita akan pergi bermain hanya sebagai pelengkap kumpulan sahaja. Bukan merendah-rendahkan pasukan negara, tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan.

“Pengalaman saya sebagai pemain sebelum ini menganggap pasukan Thailand antara yang terbaik di Asean. Kita tak pernah menang dengan mereka.

“Manakala pasukan Palestin pula, kita tidak pernah berdepan dan melihat mereka bermain. Tetapi saya yakin mereka juga ada kelebihan tersendiri,” tambahnya.

Untuk rekod, pasukan Malaysia diundi berada dalam Kumpulan H bersama Thailand dan Palestin pada saingan Kelayakan Piala Asia 2022 yang akan berlangsung pada 13-15 September ini.

Manakala aksi final 12  pasukan terbaik Piala Asia 2022 dijadualkan berlangsung di India pada 20 Januari hingga 6 Februari 2022.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading