
HANYA satu lagi halangan perlu diatasi gandingan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beraksi di final kedua mereka dalam tempoh tiga bulan.
Wei Chong-Kai Wun, naib juara di Terbuka Poland, Mac lepas, mengesahkan tiket mereka ke separuh akhir beregu lelaki badminton Kejohanan Antarabangsa Sepanyol selepas menyingkirkan pilihan ketiga, Philip Birker-Dominik Stipsits dari Austria.
Gandingan negara yang menduduki ranking ke-270 dunia, menang 21-18, 21-12 ke atas lawan yang menduduki ranking ke-82 itu dalam pertarungan suku akhir selama 28 minit.
Menanti mereka di separuh akhir adalah pasangan England, Mathew Clare-Ethan Van Leuwen yang menundukkan pilihan utama, Godwin Olofua-Anuoluwapo Juwon Opeyori dari Nigeria 21-14, 21-7.

Nasib berbeza dialami gandingan Loo Bing Kun-Lwi Sheng Hao apabila tewas dalam aksi suku akhir mereka. Pasangan negara tewas 12-21, 16-21 kepada Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis.
Menanti Corvee-Labar di separuh akhir adalah gandingan England, Rory Easton-Zach Russ yang menundukkan Philip Illum Klindt-Mikkel Stoffersen dari Denmark 22-20, 24-22.
Sementara itu, beregu wanita negara, Teoh Mei Xing-Yap Ling yang juga pilihan kedua, gagal meneruskan kemaraan selepas tunduk kepada Jessica Hopton-Jessica Pugh dari England 16-15, 21-15, 15-21 dalam pertarungan lebih sejam.
Di separuh akhir, pasangan England itu akan berdepan wakil tuan rumah, Paula Lopez-Lorene Usle yang menundukkan Aline Muller-Jenjira Stadelmann dari Switzerland 21-8, 24-22.





Add Comment