Badminton

Antarabangsa Sepanyol: Satu tiket final perseorangan wanita dalam genggaman


Image

PEMENANG pingat emas Sukan Sea 2019, S Kisona beroleh kesempatan untuk membuktikan kemampuan sebenar dirinya selepas mara ke separuh akhir badminton Kejohanan Antarabangsa Sepanyol.

Selepas tampil hambar di All England apabila tersingkir seawal pusingan pertama Mac lalu, Kisona menempah tiket separuhnya selepas menundukkan wakil tuan rumah, Beatriz Corrales 21-15, 21-14 dalam pertarungan selama 41 minit.

Turut mengiringinya ialah juara remaja dunia 2015 dan 2018, Goh Jin Wei serta Eoon Xi Quan.

Kemaraan tiga pemain negara ke separuh akhir ini sekurang-kurangnya memenuhi sasaran awal yang diletakkan jurulatih perseorangan wanita Malaysia, Indra Wijaya.

Malah, satu tiket final sudah berada di genggaman selepas Jin Wei akan berdepan dengan Xi Quan di separuh akhir.

Sebelum ini, Kisona bergelut menemui semula sentuhannya yang membolehkan dirinya memenangi tiga gelaran sepanjang tahun 2019, selepas pandemik Covid 19 mengehadkan aksi berikutan banyak kejohanan yang dibatalkan.

Kisona mencatat prestasi terbaiknya pada 2019 iaitu memenangi gelaran Cabaran Antarabangsa Sydney, Australia serta Terbuka Hellas di Greece selain pingat emas Sukan Sea Manila.

Menanti Kisona di separuh akhir adalah pemain Perancis, Yaelle Hoyaux yang mara selepas menewaskan rakan senegaranya, Emilie Drouin 21-12, 21-13.

Qi Xuan pula mara selepas mengetepikan cabaran wakil tuan rumah Ania Setien 21-10, 21-12, untuk menempah pertemuan dengan Jin Wei yang mara selepas menundukkan Jenjira Stadelmann dari Switzerland 21-15, 21-12.

Sementara itu, tempoh rehat kira-kira 70 minit tidak menjejaskan persembahan Tee Kai Wun apabila bersama Teoh Mei Xing layak ke separuh beregu campuran.

Mereka mara selepas menundukkan Victor Martin-Haidee Ojeda dari Sepanyol 21-17, 21-17.

Kai Wun sebelum itu beraksi dalam pusingan kedua beregu lelaki bersama Man Wei Chong sebelum masuk semula ke gelanggang untuk suku akhir beregu campuran.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: