Badminton

Sepanyol: Ramdan terkandas, tiga pemain perseorangan wanita mara ke suku akhir


Jin Wei berjaya melangkah kaki ke pusingan suku akhir. Foto: BAM

HAJAT Misbun Ramdan Misbun untuk melangkah lebih jauh tidak kesampaian apabila laluannya tersekat di pusingan kedua badminton Kejohanan Antarabangsa Sepanyol.

Kekalahan itu turut mengakhiri cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki selepas Ramdan menjadi satu-satunya wakil negara yang melepasi pusingan pertama sebelum ini.

Selepas menang aksi pusingan pertama dalam tiga set yang sengit semalam, kecergasan jelas bukan milik Ramdan, 30, yang akhirnya tunduk 13-21, 10-21, di tangan naib juara Terbuka Poland Mac lepas, Pablo Abian.

Pertembungan dua pemain veteran itu jelas memihak kepada pemain tuan rumah berusia 36 tahun yang juga pilihan ketiga kejohanan.

Sementara itu, tiga wakil perseorangan wanita negara berjaya mara ke suku akhir kejohanan.

Goh Jin Wei, juara remaja dunia 2015 dan 2018, hanya mengambil masa 28 minit untuk mengesahkan tiketnya ke suku akhir badminton Kejohanan Antarabangsa Sepanyol.

Turut mengiringinya ke suku akhir perseorangan wanita adalah pemenang pingat emas Sukan Sea 2019, S Kisona dan Eoon Qi Xuan yang masing-masing turut mencatat kemenangan mudah.

Jin Wei, 21, yang mencari sentuhannya semula selepas prestasinya terjejas akibat masalah usus sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada Oktober 2019, jelas sukar digugat lawannya, Abigail Holden dari England.

Pemain berasal dari Bukit Mertajam ini menang 21-10, 21-13 untuk menempah pertemuan menentang Jenjira Stadelmann dari Switzerland.

Manakala Kisona, pilihan keempat kejohanan, tidak menerima tentangan sengit terutama di set pertama daripada pemain tuan rumah, Lucia Rodriguez.

Kisona mudah tundukan lawan untuk mara ke suku akhir. Foto: BAM

 

Sebaliknya, Kisona mudah mengesahkan tempatnya di suku akhir selepas menang  21-7, 21-14 dalam masa 32 minit.

Pemain berusia 22 tahun dari Seremban ini kini akan berdepan seorang lagi pemain Sepanyol, Beatriz Corrales yang mara selepas menundukkan rakan senegara, Nerea Ivorra 21-10, 21-12.

Seorang lagi wakil negara, Eoon Qi Xuan, hanya memerlukan enam minit untuk mengesahkan tempatnya di suku akhir.

Qi Xuan, 20, sedang mendahului 11-2 di set pertama sebelum lawannya yang juga pilihan ketiga, Marie Batomene dari Perancis tidak meneruskan permainan.

Dia kini akan menentang Ania Setien dari Sepanyol yang menundukkan Dorcas Ajoke Adesokan dari Nigeria 21-8, 11-21, 21-9.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading