Badminton

Kenangan menentang Markis Kido akan saya simpan – Kien Keat

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

“SAYA masih terkejut dengan berita ini. Hingga sekarang saya masih menerima teks daripada rakan-rakan,” kata bekas pemain beregu negara, Koo Kien Keat mengenai kematian bintang beregu Indonesia. Markis Kido.

Menurutnya, ia memang sesuatu yang tidak terduga apa lagi Markis yang akan genap berusia 37 tahun pada 11 Ogos nanti, meninggal dunia pada usia yang masih dianggap muda.

Kien Keat berkata, dia dan Markis, yang setahun lebih tua daripadanya, bukan asing kerana sudah mula bersaing di gelanggang sejak di peringkat remaja.

“Saya sudah menentangnya sejak saya berusia 17 tahun iaitu di Kejohanan Remaja Asia dan Remaja Dunia. Kemudian dia tetap menjadi pesaing utama ketika di pentas senior.

“Corak permainan kami hampir sama dengan tugas utama ialah untuk membuka ruang kepada pasangan masing-masing melakukan serangan.

”Dia adalah lawan yang perlu dihormati dan kenangan bermain menentangnya akan tetap saya simpan,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Markis Kido meninggal dunia pada Isnin.

Markis, yang menjadi jurulatih di kelab Jaya Raya, meninggal dunia selepas rebah ketika mahu bertukar gelanggang sewaktu bermain di badminton di Tangerang, di pinggir Jakarta hari ini.

Kematiannya dikaitkan dengan serangan jantung. Bekas juara Sukan Olimpik Beijing 2008 bersama Hendra Setiawan, mempunyai sejarah hipertensi.

Masalah itu pernah menyebabkan Markis dan Hendra tidak dapat mempertahankan gelaran juara dunia pada 2009.

Ini berikutan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PPBSI) bimbang dengan catatan tekanan darahnya yang agak tinggi, malah pemain ini pernah pengsan ketika latihan fizikal skuad badminton Indonesia pada Jun 2009.

Kien Keat berkata, ini adalah kematian kedua pemain beregu dunia selepas Jung Jae-sung dari Korea Selatan, yang memenangi gangsa di Sukan Olimpik 2012, meninggal dunia pada usia 35 tahun pada Mac 2018.

“Dua pemain beregu meninggal pada usia yang hampir sama. Ini sememangnya sesuatu yang membimbangkan apa lagi serangan jantung boleh berlaku akibat pelbagai faktor.

“Selepas melihat apa yang berlaku, saya mungkin tidak mahu bermain badminton lagi dan melakukan senaman sahaja untuk mengekalkan kecergasan.

“Sememangnya kalau bermain (secara sosial) kita boleh memperlahankan rentak tetapi sebagai pemain yang sudah beraksi di pentas tertinggi, pastinya keinginan untuk menang sentiasa ada…ini yang saya risaukan,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: