Badminton

Antarabangsa Sepanyol: Jin Wei ketuai kemaraan tiga perseorangan wanita


Image

JUARA remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei dan pemenang pingat emas Sukan Sea 2019, S Kisona bermula dengan langkah kanan di kejohanan badminton Antarabangsa Sepanyol.

Turut mengiringi mereka ke pusingan kedua kejohanan berstatus Cabaran Antarabangsa ini adalah seorang lagi wakil perseorangan wanita negara, Eoon Qi Xuan.

Jin Wei, juara remaja dunia 2015 dan 2018, hanya memerlukan 19 minit untuk menjinakkan wakil tuan rumah Ana Ramirez 21-5, 21-7.

Pemain berusia 21 tahun dari Bukit Mertajam ini akan berdepan wakil England, Abigail Holden yang menewaskan Leonice Huet dari Perancis 23-21, 19-21, 21-17, di pusingan kedua nanti.

Image

Kisona, yang diletakkan sebagai pilihan keempat, menempah tempatnya selepas menundukkan pemain Switzerland, Nadia Fankhauser 21-15, 21-10 dalam masa 27 minit.

Di pusingan kedua, pemain berusia 22 tahun dari Seremban ini akan berdepan wakil tuan rumah, Lucia Rodriguez yang menewaskan Georgina Bland dari England, 21-16, 21-12.

Ketika Sukan Sea Vietnam hanya berbaki lima bulan lagi, Kisona kini memburu waktu mengembalikan sentuhannya selepas persembahan buruk di All England apabila tewas 6-21, 7-21 kepada pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan di pusingan pertama.

Qi Xuan pula mara selepas menundukkan pemain England, Freya Redfearn 21-9, 21-15. Dia akan berdepan pilihan ketiga, Marie Batomene dari Perancis yang menewaskan Maria Ulitina dari Ukraine 21-11, 19-21, 21-7 di pusingan kedua.

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam acara beregu campuran, Tee Kai Wun-Teoh Mei Xing turut mara ke pusingan kedua selepas menang ke atas Ilyan Stoynov-Hristomira Popovska dari Bulgaria 21-13, 21-17.

Mereka kini akan berdepan pilihan keempat, Dominik Stipsits-Serena Au Yeong dari Austria yang mendapat bye, di pusingan kedua nanti.

Mei Xing yang berganding dengan Yap Ling dalam acara beregu wanita pula, sudah mengesahkan tiket ke suku akhir tanpa mengangkat raket selepas mendapat bye di pusingan pertama diikuti kemenangan percuma di pusingan kedua.

Gandingan Kai Wun-Man Wei Chong turut melangkah ke pusingan kedua acara beregu lelaki selepas mendapat bye di pusingan awal.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading