Badminton

Tiada masalah Soniia, Peng Soon-Liu Ying berlatih di ABM – Norza


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak melihat penyertaan pemain profesional, iaitu gandingan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta pemain perseorangan wanita Soniia Cheah untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai satu masalah kepada pasukan negara.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan persatuan itu tidak pernah menetapkan sebarang standard bagi mana-mana pemain untuk menjalani latihan persiapan di ABM menjelang Sukan Olimpik di Tokyo, Julai ini.

“Mereka (Peng Soon, Liu Ying, Soniia) juga wakil negara dan akan turun sebagai satu pasukan. Kita akan tetap memberi sokongan padu kepada semua, tidak kira (sama ada) mereka bernaung di bawah BAM atau luar BAM,” katanya kepada Bernama.

Peng Soon-Liu Ying yang merupakan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 melaporkan diri untuk menjalani kem latihan secara kuarantin bersama pasukan negara di ABM pada 24 Mei lepas, manakala Soniia pula bakal tiba hujung bulan ini.

Keputusan menjalani latihan sepenuh masa di ABM dibuat selepas semua gelanggang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk rekod, pasangan Peng Soon-Liu Ying meninggalkan badan induk sukan ini pada Disember 2018, manakala Soniia pula digugurkan daripada BAM Februari lepas susulan prestasi mengecewakan di tiga kejohanan di Thailand awal tahun ini.

Turut bakal beraksi di Tokyo bulan depan termasuk perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading