Lain-Lain

Tiada lagi isu sekat, Malaysia dialu-alukan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkongsi kelegaan apabila menerima pengesahan secara peribadi daripada Oka Hiroshi, Duta Besar Jepun ke Malaysia dan juga Wisma Putra mengenai isu sekatan Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo.

Ia berikutan susulan daripada kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 Toshiro Muto serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang menafikan laporan bahawa 10 negara termasuk Malaysia akan disekat daripada menyertai temasya itu bulan depan.

“Bagi pihak Kerajaan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Oka Hiroshi, Duta Besar Jepun ke Malaysia yang sentiasa
memberikan perkembangan terkini serta turut membantu mengesahkan bahawa Malaysia sentiasa dialu-alukan untuk menyertai temasya Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Para atlet Malaysia juga kini sedang giat menjalani latihan persiapan bagi menghadapi Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

“Dalam hal ini, saya bersyukur kesemua atlet kita dalam keadaan terbaik untuk menggalas cabaran menjulang Jalur Gemilang di Tokyo 2020 bermula 23 Julai 2021 nanti,” ujarnya dalam satu kenyataaan pada Rabu.

Sebuah akhbar harian pada Selasa melaporkan kerajaan Jepun telah mengeluarkan pekeliling kepada jawatankuasa penganjur agar menyekat kemasukan 10 negara yang sedang mengalami lonjakan kes COVID-19.

Menurut laporan itu lagi, jika jawatankuasa tersebut gagal menyekat kemasukan atlet, langkah-langkah lebih ketat perlu dikenakan ke atas mereka termasuk dikuarantin selama 14 hari.

Selain Malaysia, negara lain yang dinamakan dalam laporan itu ialah India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.

Sebelum ini dilaporkan Malaysia memberi jaminan semua atlet dan pegawainya akan menerima vaksinasi penuh sebelum berlepas ke Tokyo.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: