Bola Sepak Semasa

JDT bakal hantar skuad muda ke negara jiran, “AMD bagus tapi…”

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Skuad Piala Presiden JDT III tahun lalu. Foto: JDT

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PEMILIK Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim selangkah ke depan dalam perancangan program pembangunan pemain-pemain muda kelabnya.

Tunku Ismail memberitahu pasukan JDT III (Bawah 21) bakal di hantar ke negara jiran, bagi menyertai Liga Perdana Singapura untuk memastikan pemain-pemain mudanya dapat bersaing lebih kompetitif.

“Kami memang banyak membuat pelaburan untuk pembangunan pemain-pemain muda. Kini kami dalam perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk menghantar pasukan JDT III bermain di sana.

“Buat masa sekarang tidak ada banyak perlawanan kompetitif buat pemain-pemain ini yang beraksi dalam Piala Presiden. Saya berharap mereka boleh diserapkan dan berpeluang untuk bermain dalam liga di sana,” kongsinya ketika sesi Sambang Santai bersama Hafizal Hamad (pengacara Astro Arena) pada Ahad.

Antara salah seorang pemain muda yang bersama JDT III ini adalah bekas penyerang muda negara dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal.

Liga Perdana Singapura kini disertai dengan lapan pasukan termasuk sebuah kelab dari Jepun, Albirex Niigata yang kini mendahului kedudukan tanpa kalah sepanjang 11 perlawanan dengan mengumpul 27 mata.

Dalam pada itu Tunku Ismail turut mengakui program pembangunan bola sepak di AMD adalah bagus demi masa depan bola sepak negara.

“Benda ‘tu’ bagus, tetapi program pembangunan sebenarnya adalah lebih kepada kelab yang mesti mengambil tanggungjawab masing-masing.

“Bukan harapkan dana daripada kerajaan semata-mata. Di masa akan datang berapa lama lagi nak bagi kepada AMD?. Lebih baik duit itu diberi kepada pasukan-pasukan yang bertanding dengan syarat mesti ada program pembangunan sendiri (setiap kelab)”.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: