Bola Sepak Terkini

Pasukan Liga M dijangka terima vaksin pada fasa ketiga


Datuk Ab Ghani Hassan

PEMAIN  dan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dijangka menerima suntikan vaksin pada fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata atas inisiatif sendiri beberapa pasukan yang bakal berdepan kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sudah menerima vaksin berkenaan.

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menghadapi saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC di Thailand dari 22 Jun hingga 7 Julai manakala Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC bersaing dalam peringkat kumpulan Piala AFC di Singapura bermula 29 Jun hingga 6 Julai.

“Kemungkinan besar vaksin untuk pemain Liga-M dilaksanakan dalam fasa ketiga kerana buat masa ini kerajaan mendahulukan golongan yang lebih memerlukan,” katanya kepada Bernama.

KDA FC dilaporkan menerima suntikan pertama pada 13 April lalu, manakala TFC pula dilaporkan mendapat vaksinasi semalam.

Seramai 29 pemain dari pasukan kebangsaan, yang kini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk persediaan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, melengkapkan dos kedua pada 10 Mei lalu.

Sementara itu, Ab Ghani berkata pihaknya dijangka mengumumkan pindaan jadual Liga M dalam minggu ini, berikutan peningkatan tempoh kuarantin ke 14 hari sejurus tiba ke tanah air, berbanding tempoh tujuh hari sebelum ini.

Terdahulu, MFL menjadualkan Liga Perdana bersambung semula pada 18 Jun ini selepas skuad negara kembali ke tanah air manakala Liga Super bermula semula pada 9 Julai selepas saingan AFC.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: