Antarabangsa Badminton Terkini

Masters Sepanyol: Cabaran pemain negara berakhir

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

June Wei tewas pada aksi suku akhir.

 

CABARAN Malaysia di kejohanan badminton Masters Sepanyol berakhir selepas laluan perseorangan lelaki, Cheam June Wei dan beregu wanita, Anna Cheong-Yap Cheng Wen tersekat di suku akhir, malam ini.

Impian June Wei, 24, melepasi pencapaian terbaiknya dalam saingan Jelajah Dunia iaitu suku akhir, lebur dalam masa 33 minit apabila tunduk kepada pilihan utama, Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia.

Pemain berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang itu tewas 21-9, 21-10 kepada Shesar, 27, sekali gus membolehkan lawan dari Sukoharjo, Jawa Tengah itu melebarkan rekod pertemuan mereka kepada 2-0.

Aksi June Wei ini hanya menyamai pencapaiannya mara ke suku akhir Masters Thailand 2019, sebelum laluannya disekat bintang China, Lin Dan.

Shesar, pemain ranking ke-19 dunia, jelas mahu memenuhi impiannya menjuarai kejohanan berstatus Super 300 ini selepas dua kali muncul juara di Terbuka Vietnam 2018 dan Terbuka Russia 2019, yang kedua-duanya berstatus Super 100.

Terdahulu, segalanya berakhir buat Anna-Cheng Wen apabila impian melangkah ke separuh akhir tidak kesampaian.

Pengalaman jelas bukan milik mereka apabila terpaksa akur kepada pilihan utama dari Denmark, Amalie Magelund-Freja Ravn 21-13, 18-21, 17-21 dalam pertarungan sengit selama 82 minit.

Namun, pasangan baru ini yang belum mempunyai ranking kerana baru digandingkan, mempamerkan aksi yang boleh dibanggakan menentang lawan yang menduduki ranking ke-30 dunia.

Anna dan Cheng Wen digandingkan pertengahan Februari lalu selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan beberapa pemain senior termasuk Vivian Hoo, iaitu gandingan lama Cheng Wen.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: