Bola Sepak Semasa

Korea Utara tarik diri: FAM harap Fifa ambil berat semangat ‘Fair Play’

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) supaya membuat ketetapan yang adil dan saksama kepada semua pasukan terlibat dalam saingan Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pada Ahad, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan Korea Utara telah menarik diri daripada saingan tersebut dan perkara itu akan dirujuk kepada jawatankuasa penganjur kejohanan iaitu Fifa.

Penarikan diri pasukan Korea Utara ini bakal membawa pelbagai kemungkinan termasuk pungutan mata ke atas pasukan tempat terakhir setiap kumpulan tidak akan dikira.

Ia sekali gus menyukarkan perancangan serta peluang kebanyakan pasukan memandangkan Pusingan 2 dengan berbaki tiga atau empat perlawanan.

“FAM menegaskan supaya Fifa perlu tampil dengan satu penyelesaian atau ketetapan yang saksama kepada semua pasukan dengan menitik beratkan semangat ‘Fair Play’ dan mengambil kira faktor integriti dalam sukan,” jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan.

Korea Utara berada dalam Kumpulan H bersama Turkmenistan, Korea Selatan, Lubnan dan Sri Lanka.

Penarikan diri Korea Utara mungkin akan turut ‘mengganggu’ perjalanan skuad Harimau Malaya memandangkan kedudukan semasa dalam kumpulan G, dua kemenangan Malaysia ke atas Indonesia tidak dikira.

Bagaimanapun skuad kebangsaan masih berpeluang mendapat slot automatik ke Piala Asia 2023 dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 melalui kedudukan tempat kedua terbaik.

Apa yang pasti skuad negara yang dibimbing Tan Cheng Hoe ini perlu bersedia apa sahaja dengan keputusan Fifa nanti dan paling penting perlu mengutip mata dalam tiga perlawanan penting pusingan ini bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: