
KEJAYAAN Leicester City menjulang trofi Piala FA buat kali pertama ini telah melahirkan pelbagai emosi buat pasukan dan seluruh peminat kelab.
Leicester City atau digelar The Foxes merangkul trofi Piala FA yang tidak pernah dijulang sebelum ini selepas menewaskan Chelsea 1-0.
Detik kejayaan ini dilihat bukanlah mudah buat juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2015-2016 ini memandangkan berdepan prestasi tidak menentu, lebih-lebih lagi selepas tragedi helikopter terhempas di luar Stadium King Power pada Oktober 2018 menyebabkan pemilik kelab Vichai Srivaddhanaprabha dan empat lagi individu lain maut.
Susulan kejadian itu anak lelakinya Aiyawatt ‘Top’ Srivaddhanaprabha mengambil alih kelab ini dan memastikan impian bapanya untuk terus melihat Leicester City terus berjaya.
Aiyawatt atau dipanggil Khun Top turut hadir pada aksi final ini di Stadium Wembley. Apa yang menarik, sebaik sahaja kelabnya itu bergelar juara, dia dilihat mendongak ke langit, merapatkan tangannya seperti sedang berdoa dan pasti momen itu untuk mengingati bapa kesayangannya, Khun Vichai.
Detik yang sangat indah apabila turut melihat gambar Vichai di sebuah sepanduk besar dengan kata-kata ‘Our dream can come true…if we have the courage to pursue them” (Impian kita boleh jadi kenyataan… jika kita ada keberanian untuk dapatkannya).

Malah pengurus Brendan Rodgers menjelaskan bagaimana dia dan pasukan bermain dengan semangat Vichai sekaligus membuatkan mendiang bangga dengan kejayaan ini.
Selepas memberi masa kepada pemain-pemain meraikan kejayaan ini, ahli perniagaan Thailand itu secara perlahan-lahan masuk ke padang untuk bersama pasukan.
Dia bertemu, memeluk setiap pemain yang ternyata teruja dengan trofi Piala FA ini selepas sekian lama cuba merangkulnya.
Malah Khun Top turut memeluk Rodgers dengan tempoh yang agak lama dengan penuh emosi.

Aiyawatt juga tidak lupa untuk merakam detik bersejarah ini bersama dengan penyokong The Foxes yang sentiasa memberi sokongan untuk diri dan keluarga selepas kehilangan bapa tersayang.





Add Comment