Bola Sepak Terkini

Arif Aiman, Junior Eldstal turut dipanggil sertai skuad Harimau Malaya ke Dubai


Sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya Mac lalu.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaa, Tan Cheng Hoe memanggil beberapa muka baharu untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Ahad, 16 Mei ini.

Skuad Harimau Malaya kembali berkumpul selepas sesi latihan pertama Mac lalu bagi persiapan menghadapi baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE (3 Jun 2021), Vietnam (11 Jun 2021) dan Thailand (15 Jun 2021) di Dubai, UAE.

Cheng Hoe memperbaharui senarai terkini pemain-pemain yang bakal terpilih ke Dubai ini dengan memanggil tiga muka baharu iaitu penjaga gol, Samuel Somerville (Penang FC), Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim).

Manakala tiga lagi pemain kembali dipanggil iaitu Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim), Dominic Tan (Police Tero FC) dan Junior Eldstal (Chonburi FC).

Bagaimanapun pemain pertahanan, Shahrul Saad dan penyerang, Shahrel Fikri Md Fauzi terpaksa diketepikan selepas masing-masing mengalami kecederaan pada perlawanan Liga Super 2021, PJ City FC lawan Perak FC dan Sri Pahang FC lawan Selangor FC, 5 Mei lalu.

Skuad Harimau Malaya akan mula turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei 2021 sebelum terbang ke Dubai pada 20 Mei bagi perlawanan persahabatan pertama (bukan Tier 1) bertemu Kuwait di sana pada 23 Mei 2021.

Bagi empat pemain yang beraksi di liga luar iaitu Liridon, Junior, Dominic serta Luqman Hakim Shamsudin, mereka tidak perlu melapor diri di Kuala Lumpur pada 16 Mei, sebaliknya terus dari negara masing-masing iaitu Australia, Thailand dan Belgium untuk menyertai pasukan di Dubai pada 20 Mei 2021.

Kemudian pada 25 Mei 2021, skuad Harimau Malaya akan terbang pula ke Manama, Bahrain bagi perlawanan persahabatan kedua (Tier 1) bertemu Bahrain di sana pada 28 Mei 2021 dan kembali ke Dubai pada 31 Mei bagi persediaan terakhir menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan.

Malaysia akan bertemu UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 3 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat, 11 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum pada Selasa, 15 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).

Selepas lima perlawanan setakat ini, Vietnam berkedudukan di tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0). Hanya UAE kurang satu perlawanan.

Malaysia sebelum ini memulakan kempen kelayakan dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta pada 5 September 2019 tetapi kalah tipis 2-1 kepada UAE pada aksi kedua di Bukit Jalil pada 10 September 2019.

Kemudian Malaysia tewas lagi, kali ini kepada Vietnam 1-0 di Hanoi pada 10 Oktober 2019 tetapi bangkit meraih dua kemenangan berturut di Bukit Jalil dengan menewaskan Thailand 2-1 pada 14 November 2019 dan Indonesia 2-0 pada 19 November 2019.

Namun saingan yang sepatutnya bersambung pada Mac 2020 terpaksa ditangguhkan lebih setahun akibat situasi tidak menentu pandemik Covid-19.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading