
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memberikan pelepasan lebih separuh daripada 120 pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara daripada menjalani latihan bagi membendung penularan COVID-19 yang melanda lokasi berkenaan baru- baru ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau telah memberitahu kepada Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh agar pelepasan diberi kepada para pemain yang tidak terlibat dengan program Road To Tokyo, mereka yang masih memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo selain beberapa pemain junior yang akan menyertai kejohanan di Slovenia tidak lama lagi.
“Saya telah berbincang dengan Kenny semalam untuk beliau mengkaji semula keutamaan latihan di ABM kerana kita harus belajar daripada apa yang telah berlaku baru-baru ini.
“Sebelum ini, ABM merupakan salah satu lokasi latihan yang mempraktikkan model gelembung sukan dengan SOP (prosdeur operasi standard) agak ketat namun apabila kita membuka sedikit ruang terdapat pula pemain yang menjangkiti komuniti di situ,” katanya .
Menurutnya, mereka yang diberi pelepasan daripada menjalani latihan di ABM dijangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sebelum kembali ke akademi berkenaan selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Pemain badminton negara kembali turun berlatih di ABM pada Selasa selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif COVID-19 di akademi berkenaan berikutan enam pemain disahkan positif pada 17 April lepas.





Add Comment