Bola Sepak Terkini

UITM FC: MASA UNTUK “PEMBEDAHAN”


UiTM FC bergelut mendapatkan prestasi terbaik

MENDUDUKI tangga tercorot Liga Super bukanlah satu petanda baik buat pasukan UiTM FC bagi musim 2021.

Tewas empat dan satu seri sepanjang lima perlawanan jelas memberikan bayangan bahawa suasana di dalam bilik persalinan pasukan yang memiliki nama jolokan The Lion Troops itu semakin tegang.

Ini bukanlah satu keputusan yang diramalkan sebagaimana UiTM muncul menjadi pasukan berstatus Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pertama bermain dalam kempen Liga Super bermula musim lalu.

Jika dibandingkan persembahan sebelum ini, skuad bimbingan Frank Bernhardt menjadi pasukan underdog selepas membuat kejutan menduduki tangga keenam Liga Super musim lalu dengan mencatatkan 17 mata sepanjang 11 perlawanan.

Bagaimanapun UiTM gagal mengulangi pencapaian terbaik musim lalu dan lebih teruk, pasukan ini sedang mengalami masalah dalam setiap posisi di atas padang.

KEMARAU GOL SEPANJANG 360 MINIT, PASUKAN PALING BANYAK BOLOS

Sejak ketiadaan penjaring terbanyak, Gustavo Almeida dos Santos yang meledak enam gol pada musim lalu, jelas memberikan tamparan hebat kepada UiTM.

Berdasarkan rekod gol UiTM musim ini, gol tunggal menjadi milik Mohd Fauzi Abdul Latif di mana pemain tengah itu mencatatkan nama selaku penjaring ketika mereka tewas 1-2 kepada Terengganu FC dalam aksi pembukaan.

Malah ketiadaan Rabih Atiya yang menyertai Kedah Darul Aman (KDA) juga antara salah satu faktor variasi serangan UiTM dilihat kurang berkesan sebagaimana dua jentera import mereka, Nana Pokou dan Abou Bakr Ali Al-Mel masing-masing masih buntu mencari sentuhan terbaik.

Manakala rekod pertahanan UiTM juga dilihat menjadi rekod terburuk buat masa ini apabila mereka bersama Selangor FC masing-masing dibolosi lapan gol sepanjang lima perlawanan.

Tonggak pertahanan merangkap kapten UiTM, Victor Nirennold gagal membantu pasukannya biarpun mempamerkan persembahan menyakinkan setiap kali diturunkan.

Namun penjaga gol import, Dominik Picak dijangka berdepan kesukaran apabila rakan sepasukannya, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri menunjukkan prestasi positif ketika menjadi penjaga gawang UiTM.

Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri

Dikhabar pihak pengurusan UiTM bakal mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kedua-dua penyerang import mereka termasuk jurulatih, Bernhardt.

Langkah itu dilihat mahu pasukan memberikan prestasi lebih serius dan menyakinkan ketika bertemu Selangor selepas liga kembali bersambung pada bulan depan.

Apa yang pasti, UiTM harus mencari formula terbaik untuk memperbaiki kelemahan mereka jika mahu terus kekal dalam divisyen nombor satu negara.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: