Badminton

Darren kembali bina nama

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Darren Lok (kiri) bersaing hebat dengan penjaga gawang MUFC, Khairul Fahmi Che Mat.

PENYERANG PJ City FC, Darren Lok menyifatkan dua gol yang diciptanya setakat ini merupakan permulaan yang cukup baik untuknya kembali membina nama selepas sekian lama bergelut dengan prestasi sendiri.

Darren yang sebelum ini beraksi bersama Terengganu FC mengakui prestasinya musim lalu tidak berada di tahap memuaskan apabila jarang diturunkan dalam kesebelasan utama sebelum dia dipinjamkan ke Terengganu FC II.

Justeru, dua perlawanan awak Liga Super 2021 membuktikan kembali kemampuan pemain berusia 30 tahun ini yang ternyata dapat memberi impak kepada pasukan di bahagian serangan apatah lagi PJ City FC pada musim ini menggunakan keseluruhan khidmat pemain tempatan tanpa pemain import.

Dua gol yang dijaringkannya adalah ketika menentang Melaka United FC pada Rabu lalu yang menyaksikan perlawanan itu berakhir seri 2-2 dan sudah pasti, Darren mengharapkan aksi berdepan Sabah FC, malam esok akan membuahkan hasil yang lebih positif untuk mereka membawa pulang tiga mata penuh.

“Sememangnya ia permulaan yang sangat positif untuk diri saya kerana memang sudah lama tidak dapat momentum yang sempurna seperti ini.

“Sebelum ini saya agak kecewa kerana merasakan sudah terlewat untuk menjaringkan gol pada musim lalu tetapi sekarang bersyukur dengan apa yang saya ada bersama pasukan baharu.

“Cuma apa yang saya buat ketika ini bukan semata-mata untuk prestasi peribadi sahaja, tetapi sejauh mana saya dapat menyumbang kepada pasukan ini untuk berada di tahap terbaik musim ini,” jelasnya.

S. Kumaahran (kiri) meledak gol pertama pasukan pada aksi menentang PJFC, Rabu lalu.

Selain Darren, pemain tengah Melaka United FC, S. Kumaahran juga mencuri tumpuan selepas turut meledak dua gol dalam dua perlawanan setakat ini dalam saingan Liga Super 2021.

Dia yang sebelum ini beraksi di bek kanan ketika bersama Pahang musim lalu mengakui kini berasa lebih yakin untuk membantu pasukan sekali gus mencipta kembali karier apabila turut pernah bergelut dengan kecederaan ACL pada Sukan Sea 2017.

“Musim lepas peluang untuk saya menjaringkan gol memang agak susah dan musim ini selepas berjaya melakukan dua gol untuk dua perlawanan, saya rasa lebih yakin untuk mendapatkan semula prestasi terbaik bagi musim 2021.

“Saya sudah lama tidak meledak gol sebenarnya dan mula-mula memang tidak sangka apabila berjaya melakukannya bersama pasukan ini kerana saya tahu selepas bergelut dengan kecederaan ACL, semuanya kelihatan begitu sukar untuk kembali bangkit.

“Apabila saya bersama pasukan JDT II (Johor Darul Ta’zim) pada 2018, saya fokus kepada proses pemulihan di sana dan ternyata semuanya berjalan dengan lancar sebelum akhirnya saya mendapat semula kekuatan untuk mula bermain,” katanya.

Melaka United FC dan PJ City FC masing-masing masih belum memenangi perlawanan apabila mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan setakat ini.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ini semestinya akan hadir dengan perancangan lebih teratur untuk meraih tiga mata pertama apabila bakal menerima kunjungan Sri Pahang FC pada malam esok di Stadium Hang Jebat.

Malam ini hanya satu aksi Liga Super 2021 akan berlangsung membabitkan Penang FC dan Kedah Darul Aman FC manakala dua lagi perlawanan pada malam esok turut menyaksikan UiTM FC akan menerima kunjungan JDT selain aksi tumpuan semestinya pertembungan Derby Lembah Klang antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: