Badminton Komuniti

Aqeera mahu ikut jejak Chong Wei


Peserta Kem Badminton 2020 menerima sijil masing-masing dan rakamkan kenangan selepas sebulan menyertai program tersebut.

Oleh Mohd Fahmi Ismail

BIARPUN bertubuh kecil, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Tuanku Fatimah (SKTF), Bentong ini memasang impian mahu mengharumkan nama Malaysia dalam sukan badminton satu hari nanti.

Menjadikan Datuk Lee Chong Wei sebagai inspirasinya, Nur Aqeera Syuhada Ahmad Dzulfakar, 8, bercita-cita mahu mewakili negara sehebat bekas pemain nombor satu dunia itu.

Aqeera berkata, meskipun belum pernah bertemu dengan Chong Wei, kelincahan dan disiplin tinggi yang ada pada pemain negara itu menjadi contoh kepada dirinya untuk berjaya.

“Saya tak pernah jumpa Chong Wei tapi selalu lihat dia bermain dalam pertandingan di televisyen.

“Mungkin saya juga boleh berjaya seperti dia tetapi saya kena berlatih bersungguh-sungguh dari sekarang,” katanya selepas majlis penutupan program Kem Badminton 2020 yang diadakan di Bentong, baru-baru ini.

Aqeera memasang impian ingin menjadi pemain badminton sehebat Chong Wei satu hari nanti.

Program yang dianjurkan Kelab Badminton Adni dengan kerjasama Lemang To’ki Bentong selama sebulan di Kelab Belia Bentong disertai 21 peserta kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun di bawah kendalian jurulatih, Mohd Syairi Mohamad Shaari.

Dalam pada itu, Aqeera berkata, dia turut gembira apabila kali pertamanya dapat menyertai kem ini dan belajar kemahiran badminton dari mula.

“Saya seronok sebab dapat lakukan aktiviti-aktiviti badminton dan kawan-kawan pun ‘best’. Banyak latihan kemahiran badminton yang saya pelajari selama sebulan.

“Jurulatih pun sentiasa beri kata-kata semangat kepada pemain dan menjadikan Chong Wei sebagai contoh untuk berjaya dalam sukan badminton,” katanya yang memasang impian untuk mewakili sekolahnya.

Sementara itu, pengasas Lemang To’ki, Mazlan Ramli berkata, pihaknya sentiasa menyokong aktiviti dan program seperti ini dalam mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat pemain badminton dari akar umbi lagi.

Beliau berkata, harapannya adalah untuk melihat peserta-peserta program ini tidak jemu berlatih selepas dapat menimba ilmu kemahiran badminton dari asas lagi.

“Menjadi seorang atlit dan pemain sehebat Chong Wei memerlukan pengorbanan tinggi dan tiada jalan singkat untuk berjaya.

“Saya percaya dengan latihan dan usaha bersungguh-sungguh, pemain pasti akan mengecapi kemanisannya iaitu kejayaan,” katanya selepas menyampaikan sijil kepada semua peserta program tersebut.

Firman Aisy Amirullah Faisal Amilin, 8, menerima sijil penyertaan disampaikan oleh Mazlan.

Jurulatih program, Mohd Syairi berkata, kem badminton ini akhirnya dapat disempurnakan selepas tertangguh pada Mac tahun lalu dan menerima penyertaan dari 18 murid dari SKTF dan tiga murid dari Sekolah Kebangsaan Sungai Marong.

Katanya, tujuan dan matlamat program ini turut tercapai apabila kesemua peserta-peserta kem badminton menjalani latihan dengan minat meskipun mereka ini tiada asas dalam badminton.

“Kem badminton ini juga bukan sahaja memberi pendedahan mengenali sukan badminton tetapi turut menerapkan disiplin dan kerjasama berpasukan di kalangan peserta.

“Saya turut ingin zahirkan terima kasih kepada Guru Besar SKTF, Zaleha Othman dan juga ibu bapa yang telah memberi sokongan serta memberi peluang kepada anak-anak mereka menyertai program ini,” katanya yang berpengalaman 13 tahun dalam kejurulatihan badminton.

Sebahagian peserta yang menyertai Kem Badminton 2020 di Kelab Belia Bentong, baru-baru ini.

Mohd Syairi berkata lagi, susulan sambutan baik pada program yang lalu, kem badminton siri dua akan dijalankan pada cuti sekolah akan datang pada 29 Mac hingga 2 April 2021.

Bagi mereka yang tinggal di sekitar Bentong yang ingin mengetahui lanjut berkenaan program tersebut boleh menghubungi Mohd Syairi di talian 018-2894016.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: