
OLEH MOHD FAHMI ISMAIL
SIAPA sangka dari raut wajah Mohd Helmi Musa yang tenang ini rupa-rupanya pernah bergelumang dalam kancah sepak takraw negara.
Lebih mesra disapa Cikgu Helmi, beliau kini bertugas sebagai SISC+ (Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk.
Sambil berkongsi mengenai kehidupan semasa, Cikgu Helmi mendedahkan rahsia kepada wakil CAKAPSUKAN bahawa pasukannya pernah menyingkirkan regu Gemilang B yang dianggotai Zabidi Sharif, Ahmad Izzat, Ahmad Sufian dan Zahar Ismail.

Mengenang kembali detik bersejarah itu, mereka yang berada dalam pasukan Perak pernah menang di peringkat separuh akhir Perilly’s Sepak Takraw GP Kebangsaan Terbuka Perlis 2001 di Kompleks Sukan Behor Pulai, Kangar.
“Memang gembira bukan kepalang. Ye lah, zaman tu kalau menang dengan team Zabidi dah seronok sangat. Mereka adalah pasukan Malaysia dan amat sukar nak menjinakkan apatah kalau kami menang.
“Itulah kenangan manis yang saya dan rakan sepasukan tak akan lupakan seumur hidup,” imbau Cikgu Helmi yang bermain di posisi apit kiri.

BANTU PERAK JUARA PIALA KHIR JOHARI KE-41
Atas kejayaan itu, Cikgu Helmi meneruskan kariernya bersama Perak sehingga memenangi Piala Emas Khir Johari ke-41 di Stadium Mini Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2004.
Beliau bersama regu pertama Perak yang dibarisi Abd Hamid Zakaria dan Zainuddin Hussin.
“Kami mengharungi satu demi satu lawan dan Alhamdulillah dapat mara ke final dan bertambah teruja dengan menundukkan Pulau Pinang. Sebelum itu, kami membenam penyandang juara, Selangor. Kemenangan itulah melonjakkan nama saya sehingga terpilih ke pemilihan skuad Malaysia di Kota Bharu, Kelantan.
“Tapi, sayangnya saya terpaksa menolak tawaran itu kerana faktor isteri bersalin anak sulung di Perak,” ujarnya lagi.
Kini, beliau meneruskan tugasan hakiki di PPD Bagan Datuk dan sedia mencurahkan ilmu dan bakat kepada anak muda dalam memastikan imej sepak takraw terus terpelihara.

SAMBUT BAIK PENGANJURAN STL
Menyentuh mengenai penganjuran Sepak Takraw League (STL), Cikgu Helmi menyambut baik langkah berkenaan sebagai usaha melahirkan ramai pelapis dan menjadi platform untuk membentuk skuad Malaysia yang mantap.
“Walaupun sibuk tugasan di pejabat, saya tidak ketinggalan mengikuti aksi STL yang disiarkan di Astro Arena.
“Moga industri sepak takraw kita terus mekar dan dapat menarik lebih ramai belia menyertainya dan juga boleh perbanyakkan lagi pertandingan sebegini di peringkat daerah mahupun sekolah,” katanya.
Profil :
Nama : Cikgu Helmi Musa
Tarikh lahir : 26 Februari 1975
Umur : 46 tahun
Asal: Bagan Datuk, Perak
Kerjaya semasa : SISC+ (Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk.
Pencapaian dan Penglibatan :
1. Johan Piala Emas Khir Johari 2004
2. Johan MAKSAK Kebangsaan 2006
3. Johan PSKPP Kebangsaan di Putrajaya 2016
4. Johan MARA PSM Open 2018
5. Pemain GP Perilly’s Perak 2000 -2005
6. Pemain MAKSAK Perak 1999-2014
7. Pemain PSKPP Perak 1999-2019
Add Comment