Oleh : Subkhi Sudarji
TERENGGANU FC bukanlah asing dalam saingan Liga Malaysia terutamanya dengan barisan pemain berpengalaman dan gah yang dimiliki mereka setiap kali musim baharu bermula.
Tetapi untuk Liga Malaysia 2021, mereka nampaknya mempertaruhkan kira-kira 18 barisan pemain baharu berusia bawah 23 tahun disamping beberapa pemain lama yang masih kekal dalam pasukan.
Tiada lagi kelibat ketua pasukan musim lalu, Andrew Lee Tuck tetapi mereka membawa masuk pemain baharu muda berbakat Faisal Halim (Pahang FC), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan FC) dan bekas ketua pasukan UKM FC, Asnan Ahmad.
PENTAS AFC
Layak beraksi dalam kejohanan Piala AFC, Terengganu FC berada dalam Kumpulan I, bersama Kaya FC (Filipina), Geylang International FC (Singapura) dan Shan United atau Ayeyawady United FC (Myanmar) pastinya bukan tugas mudah buat Nafuzi Zain untuk mencorak pasukan.
Dianggap jurulatih muda tempatan yang berpotensi dan khidmatnya masih ditagih berbanding pasukan lain yang gemar melantik jurulatih asing, Nafuzi tidak menolak kejayaan yang diraihnya ketika ini banyak dibantu Irfan Bakti Abu Salim.
Kemasukan Nik Akif Syahiran dan Asnan Ahmad bagi posisi tengah memberikan persaingan sihat buat pemain senior Nasir Basharudin namun secara positifnya Nafuzi boleh mempelbagaikan corak permainan.

IMPORT BERPENGALAMAN
Begitu juga di bahagian serangan, kembalinya bekas pemain T-Team 2016, Makan Konate melengkapkan kuota pemain import mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021 adalah tindakan tepat memandangkan Konate sudah arif dengan corak permainan Liga Malaysia.
Selain Konate yang menjaringkan 8 gol dalam 32 penampilan bersama T-Team pada 2016 dibawah kendalian Rahmad Darmawan, TFC turut diperkuatkan empat lagi pemain import iaitu David Da Silva, Carli de Murga, Petrus Shitembi dan Christopher Herd.
Melihatkan perancangan dan persiapan pasukan, TFC yang dilihat antara pencabar JDT dalam saingan Liga Super seharusnya memanfaatkan kelebihan tenaga muda selain mengekalkan konsisten disetiap perlawanan selain taktikal yang diterapkan Nafuzi mampu sekurang-kurangnya meraih satu piala pada musim ini.
PEMAIN TUMPUAN
- Makan Konate
- Nik Akif Syahiran
Add Comment