Oleh : Subkhi Sudarji
PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak bersetuju dengan keputusan yang bakal diambil Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang memaksa kesemua atlet ke temasya itu nanti wajib berusia bawah 23 tahun (B-23).
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan dakwaan keputusan MOM itu sambil menyifatkan ia satu tindakan terburu-buru dan berupaya merosakkan perancangan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).
“Saya mendapat maklumat bahawa MOM dalam masa yang terdekat (Khamis ini) akan
membuat suatu keputusan yang drastik di mana mereka akan memaksa semua atlet
yang akan ke Sukan SEA nanti hendaklah terdiri daripada atlet B-23.
“Saya tidak nampak apa relevannya dan kenapa kita harus bertindak terburu-buru seperti itu. Berkemungkinan sudah terdapat perancangan satu atau dua PSK yang ingin membawa suatu pendekatan baharu dengan hala tuju mereka tertentu.
“Bagi PSK ini, mereka mungkin telah membuat persediaan awal. Jika benar sudah ada persiapan awal ia adalah perkara yang baik buat mereka, tetapi tolonglah jangan main paksa PSK yang lain.
“Kita juga ada indeks prestasi utama (KPI) tersendiri. Malahan, saya yakin jurulatih juga ada KPI mereka sendiri. MOM wajib menghormati PSK,” katanya pada sesi sidang akhbar di ibu pejabat PSM di sini, semalam.
Ahmad turut memaklumkan PSM sedia mengikuti perancangan ini seandainya ia turut mendapat persetujuan dari PSK yang lain.
“Keputusan seumpama ini perlu dicapai dalam perbincangan, adat kita sebagai orang Melayu perbincangan itu perlu diadakan.
”Perlu diadakan bengkel dah memahami kehendak serta keperluan setiap persatuan dan selepas itu barulah keputusan boleh dibuat.
”Dalam keadaan semasa ini (Covid-19) sukar untuk semua PSK berkumpul, mungkin boleh dibuat secara dalam talian untuk mendapatkan pandangan masing-masing,” jelasnya.
Add Comment