Bola Sepak Semasa Terkini

Kelab perlu pelbagaikan usaha untuk jana pendapatan


Chris teruja apabila menyaksikan makin banyak kelab mula aktif di media sosial dalam usaha mengukuhkan jenama dan pemasaran.

MOHD FITRIE MUHAMAD

Mengembangkan idea pemasaran dan meluaskan pengaruh dikalangan penyokong secara konsisten khususnya di platform media sosial menjadi elemen terpenting dalam memastikan kelangsungan sesebuah kelab ketika pandemik Covid-19 yang menghimpit banyak industri di negara ini.

Bagaimanapun, sebarang keputusan harus dibuat mengikut pelan jangka masa panjang memandangkan segala usaha dilakukan mungkin memakan masa lima tahun sebelum sesebuah kelab mula stabil.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj berkata kepada CAKAPSUKAN, jumlah yang perlu dilaburkan untuk semua perkara ini bergantung kepada kemampuan sesebuah kelab.

Christopher yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Awan dan Media FAM turut menyenaraikan beberapa inisiatif yang boleh digunapakai seperti jana pendapatan daripada Youtube, menjual cenderahati yang bersesuaian dengan permintaan semasa dan menawarkan khidmat iklan berbayar.

Kerteh FC antara kelab yang berbelanja mengikut kemampuan mereka.

“Setiap apa yang dilakukan perlu realistik dengan kemampuan. Jangan ikut kemampuan kelab lain yang mungkin ada modal lebih besar.

“Cuba kita lihat apa yang dilakukan Kerteh FC. Mereka mampu buat hanya berbekalkan jumlah bajet yang mereka ada.

“Sekarang pendapatan kelab tidak semesti hanya bergantung kepada tajaan atau pun hasil jualan jersi saja kerana banyak lagi yang boleh dibuat untuk jana pendapatan. Ketika pandemik ini, media digital amat penting dan harus diingat untuk kelab bola sepak, pemain adalah aset yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan.

“Ketika ini aspek perhubungan awam terutamanya hubungan dengan penyokong juga penting. Kelab kena mulakan daripada sekarang secara berperingkat walaupun pada awalnya hanya berbekalkan modal yang kecil.

“Ia akan babitkan perancangan jangka masa panjang dan kelab kena sediakan bahan secara konsisten untuk dapatkan sokongan peminat. Saya percaya penyokong pun mahu tolong kelab mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Christopher menyatakan rasa teruja apabila menyaksikan makin banyak kelab mula aktif di media sosial dalam usaha mengukuhkan jenama dan pemasaran.

“Sebelum ini ada wakil daripada dua atau tiga kelab yang datang jumpa saya berkongsi idea dan pendapat. Ada yang mahu buat peraduan dan ada juga yang mahu buat bual bicara bola sepak.

“Ianya satu cadangan yang baik tetapi mereka juga kena fikir bagaimana untuk kembangkan idea itu. Jika ada mana-mana kelab yang mungkin mahukan bantuan, mereka boleh hubungi saya,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: