
“UKUR baju dibadan sendiri’, itulah perumpamaan paling sesuai perlu ada dalam pemikiran pemilik-pemilik pasukan yang berhasrat menyertai saingan Liga M3 pada tahun ini.
Enggan menidakkan hasrat murni pasukan bertanding yang ingin menyerlahkan bakat-bakat pemain mereka tetapi persediaan kewangan hampir RM800,000 perlu disediakan setiap pasukan bagi mengelakkan masalah berbangkit pada masa hadapan.
Bukan jumlah yang sedikit diperlukan, belum lagi pelbagai masalah yang tidak dijangka sebagaimana pandemik Covid 19 yang berlaku ketika ini. Gaji pemain dan staf kejurulatihan perlu ditunaikan mengikut perjanjian. Mampukah?
Inilah realiti yang perlu difikirkan, adakah mereka mampu atau penyertaannya dalam saingan ini sekadar meraih publisiti segera memandangkan bola sepak adalah sukan paling utama bukan sahaja di Malaysia tetapi didunia.
Jangan hanya sekadar “hangat-hangat taik ayam” hingga mencemarkan imej Liga M3 sebagaimana yang kita tahu pentas ini adalah peluang bakat-bakat baharu memperagakan aksi untuk memikat pasukan-pasukan Liga Premier dan Super.
Masalah kewangan dalam kalangan pasukan bertanding bukanlah perkara asing dalam pentas Liga M3 apabila sebelum ini terdapat kelab yang mengalami situasi tersebut di pertengahan saingan.

Penulis ingin berkongsi dengan pembaca apa yang berlaku beberapa musim sebelum ini apabila pasukan SAMB FC dan MOF FC yang dilihat antara pasukan pilihan mengambil keputusan menarik diri ketika kejohanan berlangsung. Mengapa keputusan seumpama ini diambil..Tidak lain tidak bukan pastinya ia ada kaitan dengan masalah kewangan.
Perkembangan semasa Covid-19 ketika ini yang masih belum menunjukkan penurunan sudah pasti ia bukanlah tugas mudah buat pasukan mencari sumber kewangan, apatah lagi dengan saingan Liga Malaysia yang ketika ini masih belum ditentukan tarikh sebenar bakal bermula walaupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan kejohanan akan bermula pada 5 Mac nanti.
SUMBER KEWANGAN JADI PENENTU

Melihatkan keyakinan dan kesungguhan Liga Bolasepak Amatur (AFL) selaku badan yang mengendali kejohanan sebagaimana ditekankan Pengerusinya, Datuk Yusoff Mahadi kepada CAKAPSUKAN, semalam, mereka akan berusaha memastikan kejohanan musim ini dijalankan bagi mengelakkan pasukan berkubur.
Walaubagaimanapun Mohd Yusoff tetap menekankan syarat utama pasukan yang bakal bertanding musim ini perlulah stabil dari segi kewangan untuk memastikan perjalanan berjalan lancar.
“Setakat hari ini, sembilan pasukan telah mengemukakan permohanan menyertai kejohanan dan jumlah ini berkurangan hampir 50 peratus dari tahun lalu dan bilangan berapa ramai pasukan akan menyertainya masih belum dapat dipastikan sehinggalah tarikh tutup penyertaan pada 19 Februari nanti.
“Musim lalu seramai 20 pasukan telah menyertainya. Bagi musim 2021 , kami akan melihat dari segi dokumen kewangan dan pelbagai aspek sebelum mereka diberikan kebenaran menyertai kejohanan,” katanya.
TALIAN HAYAT BUAT PEMAIN
Memang tidak dinafikan saingan Liga M3 boleh dianggap talian hayat buat bekas-bekas pemain dalam saingan utama untuk mereka meneruskan kerjaya selaku pemain bola sepak.
Jika diimbau kembali, antara beberapa pemain berpengalaman yang menyertai saingan Liga M3 ialah Lot Abu Hassan (bekas pemain Sarawak, KL Plus), G. Puaneswaran (Terengganu, Melaka), Muhd. Redzuan Harun (Sime Darby), Rizua Shafiqi (Pahang) dan Isma Alif Mohd. Salim (Kuala Lumpur) dan bekas pemain Selangor dan Perak, Hafiz Kamal.

Begitu juga bekas penyerang Terengganu Manaf Mamat dan Selangor serta Pahang, Azidan Sarudin yang mewarnai saingan dengan mewakili pasukan Batu Dua FC.
Jadi bolehlah penulis katakan, Liga M3 menjadi platform ramai pemain ternama untuk mendapatkan semula kepercayaan pihak kejurulatihan sekurang-kurangnya untuk kembali ke Liga Perdana.
Berbalik kepada pokok pangkal penyertaan pasukan, penulis ingin sekali lagi menekankan kepada semua pasukan yang berhasrat menyertai saingan menyemak baki kewangan yang ada untuk mengelakkan masalah dikemudian hari.
Fikirkanlah nasib 18 pemain dibawah kendalian anda tidak termasuk juga staf kejurulatihan yang meletakkan profesional bolasepak adalah kerjaya mereka. Bayangkan apa akan terjadi bila masalah kewangan berlaku, bukan sahaja imej pasukan tercalar tetapi tidak mustahil akan kedengaran bekas pemain LigaM3 menjadi budak penghantar makanan serta pemandu kenderaan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi AFL pula teruskan sedaya upaya untuk memastikan saingan Liga M3 berjalan sebagaimana dirancang. Netizen memerhati dan mengingati segala janji yang diberikan.







Add Comment