Lain-Lain Semasa

Kontrak atlet Podium disambung

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

ATLET  negara yang berada dalam Program Podium tidak perlu bimbang memandangkan kontrak mereka dalam program berkenaan akan terus disambung untuk menghadapi beberapa temasya sukan antarabangsa pada tahun ini dan 2022.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, kontrak atlet negara yang tamat pada Disember lalu akan disambung hingga 2022 sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam selain Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Sukan SEA 2021 dijadual berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis, Sukan Komanwel 2022 (28 Julai-8 Ogos) manakala Sukan Asia 2022 bakal diadakan dari 10 hingga 25 Sept.

“Semua kontrak mereka dalam Program Podium akan terus disambung. Kita minta mereka fokus kepada latihan masing-masing, namun kita juga sentiasa membuat penilaian semasa bagi memastikan mereka yang layak sahaja kekal dalam program berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Jefri memaklumkan jumlah sebenar atlet yang berada dalam program berkenaan hanya akan dapat diketahui selepas MSN mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja bersama dengan kesemua persatuan sukan kebangsaan pada bulan depan.

Bernama difahamkan jumlah atlet normal yang berada dalam program berkenaan lebih 700 orang pada tahun lepas, dan jumlah itu tidak termasuk atlet para negara.

Program Podium adalah inisiatif Pelan Prestasi Tinggi Kementerian Belia dan Sukan bermula 2016, dalam merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020, selain muncul 10 pasukan terbaik di Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Pada awal pelaksanaannya, Program Podium diletakkan di bawah seliaan Institut Sukan Negara sebelum dipindahkan pengurusannya kepada MSN pada Oktober 2018.–Bernama–


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: