Lain-Lain

Atlet Podium dan Pelapis Kebangsaan positif Covid-19


SERAMAI 466 daripada 735 atlet Podium dan Pelapis Kebangsaan serta jurulatih negara telah melaporkan diri bagi mengikuti latihan pusat
sepenuh masa selepas hampir seminggu diberikan perlepasan sempena Hari Natal dan Tahun Baru.

Mereka telah menjalani ujian swab di pusat latihan masing-masing yang telah diselaraskan oleh MSN dan ISN selepas kembali dari cuti hujung tahun. Ianya melibatkan sebanyak 20 pasukan atau sukan keseluruhannya. Ujian swab ini turut diadakan di Kompleks Majlis Sukan Negara Taman Keramat melibatkan 38 daripada 41 orang atlet dan jurulatih.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pada masa sama 89 daripada 91 orang atlet para dan jurulatih turut telah menjalani ujian swab di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan.

“Setelah ujian dijalankan seramai 7 orang atlet dan 1 orang pegawai telah disahkan positif COVID-19. Atlet – atlet yang terlibat adalah 2 orang dari sukan olahraga, 2 orang dari sukan tenis berkerusi roda, 2 orang dari sukan bola keranjang kerusi roda, seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran dan seorang pegawai pengiring sukan boccia.

“Sebelum itu, seramai 39 orang atlet dan jurulatih badminton di Akademi Badminton Malaysia telah menjalani ujian pada 2 Jan 2021 sebagai persediaan ke BWF Asian Tour di Thailand. Hasil ujian mendapati seorang pegawai telah positif iaitu Wong Choon Han dan telah
menjalani kuarantin diri di rumah sehingga mendapat arahan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, hanya 1 peratus iaitu 8 orang daripada 632 atlet dan pegawai yang telah menjalani ujian swab telah didapati positif ujian berkenaan dan dipercayai mendapat jangkitan semasa mereka bercuti di kampung atau rumah masing-masing.

“Pada individu yang telah disahkanpositif, kesemua mereka telah diasingkan dan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“MSN juga telah mengasingkan atlet (PUS) yang berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan atlet dan pegawai yang telah disahkan positif dan akan menjalani ujian swab pada hari ke empat. Jika keputusan negatif tetapi mempunyai simptom, mereka perlu menjalani proses kuarantin sehingga hari ke sepuluh dan ujian akan diadakan pada hari kesembilan untuk pengesahan bebas dari jangkitan.

“Setelah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, kem latihan berpusat MSN ini akan diteruskan secara “quarantine-based approach” bagi tempoh 2 minggu pertama di mana atlet dan jurulatih tidak dibenarkan keluar kecuali ke tempat latihan masing – masing secara terkawal. Arahan ini akan dikaji semula selepas 2 minggu melihat kepada perkembangan penularan jangkitan COVID-19,” tegasnya.

Menurutnya lagi, kemudahan pusat latihan hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih sahaja dan pengawalan keluar masuk ke premis penginapan dan latihan selain dari atlet dan jurulatih adalah tidak dibenarkan.

“Proses sanitasi akan dilaksanakan pada setiap pusat latihan dan penginapan setiap seminggu sekali dengan serta merta dan akan dikuatkuasakan kepada semua pusat latihan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan, Kompleks MSN Taman Keramat, Kompleks Pelayaran Langkawi, Akademi Badminton Malaysia, Velodrom Nasional Nilai dan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: