
TAWARAN mengendalikan kelab Liga Premier Bangladesh (BPL), Muktijoddha Sangsad KC tidak akan dilepaskan begitu sahaja oleh Raja Isa Raja Akram Shah.
Ada misi lebih mustahak yang berada dalam kepala Raja Isa termasuk mengintai peluang mengendalikan skuad kebangsaan Bangladesh.
Kini, tumpuan bekas jurulatih UiTM FC itu adalah membangunkan pasukannya muncul sebuah kelab kompetitif dan mempunyai sistem penggiliran pemain muda berbakat.
“Sebenarnya, saya ingin mengucapkan terima kasih buat beberapa tokoh bola sepak yang membantu selama ini.
“Kecemerlangan Datuk M Karathu sebagai jurulatih asal Malaysia membawa pasukan Sri Lanka dua kali ke final Sukan SAF lebih 15 tahun lalu menjadi motivasi buat saya ingin mencari kesempatan melatih pasukan kebangsaan Bangladesh.
“Berbalik kepada kelab Muktijoddha Sangsad KC, saya tiada masalah beradaptasi bersama mereka. Pasukan ini terdiri tiga pemain import dan saya sudah mengenal karakter masing-masing,” katanya kepada Cakap Sukan sebentar tadi.
Menjadikan jurulatih senior sebagai sumber inspirasi, beliau yang berusia 54 tahun itu mengakui tiada langsung masalah melatih mana-mana kelab di luar Malaysia.
“Bermula dari era Lim Kim Chon, Irfan Bakti, Abdul Rahman Ibrahim, Lim Teong Kim, Moey Yoke Ham, Chow Kwai Lam dan M Karathu mereka ini saya anggap sebagai abang.
“Kerana merekalah, saya membuat keputusan berani untuk melangkah lebih jauh lagi. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah,” ujarnya lagi.
Bercakap kepada Cakap Sukan, Raja Isa kini telah menandatangani kontrak selama setahun dan merupakan pengendali pertama tanah air yang mengendalikan kelab Bangladesh.
Segala urusan dokumentasi termasuk visa dan lain-lain sudah disiapkan dan beliau dijadualkan berangkat ke Bangladesh pada Ahad ini.





Add Comment