“BAGI saya program ini adalah program baik, tapi macam biasalah, sesiapa pun ada pandangan masing-masing, tetapi bagi saya, kita (FAM) tahu apa yang kita buat,” itulah reaksi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal mengenai kenyataan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim yang mempersoalkan penyertaan skuad projek FAM-MSN dalam Liga Premier 2021 bakal membunuh pembangunan bakat muda di negara ini merupakan pandangan peribadi.
Jelasnya, keputusan FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) mewujudkan skuad projek FAM-MSN bertujuan memastikan pemain muda negara didedahkan dengan aksi kompetitif.
“FAM sentiasa memberi tumpuan bagi memastikan pemain muda negara mendapat pendedahan berterusan sebagai kesinambungan proses pembangunan di peringkat akar umbi,” katanya.
Pada masa sama Subahan menjelaskan FAM merancang untuk menghantar skuad projek FAM-MSN di luar negara pada masa akan datang sebagai medan pendedahan untuk meningkatkan kualiti permainan skuad berkenaan.
Semalam, Teong Kim mempersoalkan keputusan FAM yang mewujudkan skuad itu menyertai saingan Liga Premier 2021 yang dianggap boleh membunuh perkembangan kerjaya mereka di peringkat muda.
Sebaliknya, beliau mencadangkan pemain skuad projek FAM-MSN beraksi dalam liga bawahan seperti saingan Piala Belia (Bawah 19 tahun) dan Piala Presiden (Bawah 21 tahun).
Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah PPBN akan membentuk skuad perintis itu bermula Januari.
Skuad tersebut akan dibimbing bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah dan dibantu Noor Zaidi Rohmat sebagai penolong jurulatih, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal).





Add Comment