Bola Sepak Semasa Terkini

Skuad Projek FAM-MSN Terjamin Dari Segi Perkembangan Pendidikan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

AHLI akademik dan pemerhati sukan tempatan menyifatkan Skuad Projek FAM-MSN mampu menjamin masa depan yang lebih baik buat pemain bola sepak negara berikutan ia turut memberi peluang melanjutkan pelajaran ke univeristi terpilih.

Skuad Projek FAM-MSN yang diumumkan secara rasmi Khamis lalu, merupakan usaha mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.

Pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat rasmi di MSN, diberi elaun,
tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan
pertandingan dalam negara, pendedahan antarabangsa serta peluang
melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.

Pekan menyifatkan kewujudan projek ini akan memberi masa depan cerah buat pemain.

Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Pekan Ramli berkata selain daripada bola sepak pemain muda di skuad ini mempunyai masa depan yang cerah sebagai lepasan akademik.

“Saya sangat bersetuju dan menyokong penubuhan Skuad Projek FAM – MSN ini kerana sememangnya pendidikan itu penting untuk menjamin masa depan seseorang atlet.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan di sini ia sekadar laluan yang ditawarkan oleh FAM-MSN di mana pemain perlu sedar sendiri akan kepentingan memperoleh keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutama sekurang-kurangnya kredit dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris.

“Bila sudah di universiti pula mereka juga perlu sedar akan kepentingan mendapatkan keputusan cemerlang, tidak kurang dari CGPA 3.0… Ini kerana jika tidak laluan mencari kerjaya di luar padang bola sepak akan sukar.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk ingatkan pemain kerana jangan nanti mereka berasa terlalu selesa dan menyalahkan pengurusan projek ini andai sukar dapat kerja kelak,” katanya yang sekali lagi menekankan inisiatif skuad ini adalah baik terutama dalam menetapkan lambakan hala tuju graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan sekolah sukan yang mana tidak semua berpeluang disunting pasukan-pasukan Liga Malaysia.

Mohd Sadek menyifatkan penubuhan Skuad Projek ini bertujuan untuk merancakkan serta membangunkan bola sepak negara dan bukan untuk memalapkan.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata penubuhan Skuad Projek ini bertujuan untuk merancakkan serta membangunkan bola sepak negara dan bukan untuk memalapkan.

“Saya menyokong penuh kelebihan Skuad Projek ini yang turut membuka peluang pemain ke universiti terpilih.

“Ini kerana jangka hayat zaman kegemilangan pemain bola sepak itu bukannya lama, maksima 15 tahun dan jika bertuah mungkin lebih.

“Itu belum kira, kalau-kalau seseorang pemain itu tiba-tiba terpaksa menamatkan kerjaya bola sepaknya awal ekoran mengalami kecederaan. Maka dengan adanya pendidikan, mereka boleh teruskan pengajian di universiti atau berpeluang ke laluan kerjaya lain,” kata Sadek.

Bagi Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan,
Pusat Sukan dan Eksesais Sains, Universiti Malaya, Dr Mohamad Faithal Hassan, berkata hakikatnya masa depan seorang pemain bola sepak di negara ini hakikatnya tidak terjamin.

“Ini terbukti dalam situasi ketidaktentuan ini kita lihat ramai pemain bola sepak yang terpaksa kerja sebagai nelayan, jual burger dan jadi penghantar makanan.

“Selain bertindak sebagai jambatan buat pemain-pemain muda beraksi di padang, skuad ini juga membantu pertumbuhan sahsiah pemain dalam perkembangan akademik sekaligus membuka ruang kerjaya lebih berkualiti di bidang kejurulatihan, pengurusan dan pentadbiran,” katanya.

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: