Badminton

PPZ, YAKEB meterai kerjasama bantu bekas atlet negara

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Reezal Merican menandatangani jalinan kerjasama antara Khaira PPZ dan Yakeb.

 

YAYASAN Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) memeterai kerjasama bagi membantu bekas atlet negara yang terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Kerjasama berkenaan dimeterai wakil kedua-dua pihak ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, di sini.

Yakeb, dalam satu kenyataan memaklumkan program yang dikenali sebagai Jalinan Kerjasama Komuniti Sukan Khaira PPZ-YAKEB itu merupakan inisiatif terbaharu mereka untuk bekas atlet negara.

“PPZ melalui beberapa produk perkhidmatannya telah memperuntukkan dana sebanyak RM60,500 untuk diagihkan kepada bekas atlet negara yang berdaftar dengan YAKEB.

“Bantuan ini diberikan dalam pelbagai bentuk iaitu bantuan tunai, Khaira PPZ dan Khaira Prihatin PPZ, bantuan barangan asas dan Bakul Rezeki Khaira PPZ. Bantuan-bantuan ini diagihkan kepada 161 orang yang memerlukan,” ujar kenyataan berkenaan.

Pada masa sama Yakeb memaklumkan PPZ turut mengambil peluang memperkenalkan sistem pembayaran zakat secara dalam talian, khas untuk komuniti sukan sewaktu melakukan kunjungan hormat berkenaan.

Sistem pembayaran berkenaan diperkenalkan oleh PPZ bertujuan menggalakkan pembayaran zakat  antara komuniti sukan, dengan wang zakat diterima PPZ akan disalurkan kembali kepada ahli YAKEB yang memerlukan bantuan sewajarnya.

“Bagi kami, kemudahan yang disediakan perlu disambut dengan baik oleh komuniti sukan di luar sana. Selain memudahkan kita untuk menunaikan tanggungjawab dalam mengeluarkan zakat, ia juga menjadi platform untuk membantu bekas atlet negara yang memerlukan,” katanya.

Pengerusi  YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ Ahmad Shukri Yusoff hadir pada kunjungan hormat berkenaan .


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: