Pelbagai

MOM sedia longgar kriteria pemilihan

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan menukar kriteria pemilihan atlet ke temasya Sukan SEA 2021, sekiranya cadangan menghantar atlet muda ke sukan dwitahunan itu direalisasikan.

Mengikut kriteria kelayakan sebelum ini, atlet sekurang-kurangnya perlu mengatasi catatan dilakukan pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA terdahulu, namun kriteria itu perlu dipinda jika atlet muda atau atlet daripada Sukan Malaysia (Sukma) dihantar mewakili negara di Sukan SEA Vietnam pada November 2021.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pindaan itu akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini menerusi perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), berdasarkan input dan maklum balas yang diterima MOM selepas mengadakan pertemuan empat mata secara berasingan dengan semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) baru-baru ini.

“Cadangan sama ada hendak menghantar atlet muda telah mencetuskan perbahasan kerana Sukan SEA adalah sukan pembangunan dan persahabatan. Ada NSA yang bersetuju, ada yang tidak dan ada yang mahu menggabungkan atlet senior dan junior.

“Kalau kita mahu pertaruhkan atlet muda, tentu kita kena ubah kriteria itu. Kriteria yang dipinda itu akan kita wujudkan menjelang akhir tahun ini, ketika Vietnam mengesahkan senarai sukan yang akan dipertandingkan,” katanya selepas mesyuarat Majlis MOM ke-194 di Wisma OCM.

Vietnam dijangka mengumumkan senarai acara yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA Hanoi itu November ini, selepas menerima rayuan daripada negara bertanding untuk menambah beberapa jenis sukan dan acara daripada 36 jenis sukan yang diumumkan sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata MOM telah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai cadangan membantu industri sukan yang terjejas dengan pandemik COVID-19 apabila banyak kejohanan serta aktiviti sukan dan rekreasi tidak dapat diadakan.

“Kami tidak mahu pengusaha sukan yang ‘nyawa-nyawa ikan’ terus hilang daripada peta kerana tiada aktiviti untuk menjana pendapatan. Kami telah berbincang dengan menteri untuk mengetengahkan kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi melihat insentif dan perkara yang boleh memberi nafas baharu kepada industri sukan menerusi Belanjawan 2021,” katanya. -Bernama-

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: