Semasa Sepak Takraw

Kelantan Warriors pertaruh dua tekong baru

Wan Roslan (duduk, tengah) dan Zuraidin (duduk,dua kanan) bersama barisan pemain dan pegawai yang akan menggalas cabaran Kelantan Warriors diperkenalkan kepada media di Kota Bharu, hari ini.

KELANTAN Warriors mempertaruhkan dua muka baharu selain mengekalkan empat pemain lama dalam usaha pasukan itu kembali mencabar kejuaraan pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020, bermula 18 September hingga 22 November depan.

Dua pemain itu adalah Yus Hanif Rosli, tonggak yang berjaya membantu Perak Bison menjuarai Liga Premier STL musim lalu dan Muhammad Adam Aiman Zainol, tekong naib juara liga sama, Penang Black Panthers.

Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) juga masih menggunakan khidmat Wan Naim Izani Wan Mohd Noor selaku apit kanan, Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dengan kedua-dua mereka sudah enam tahun bersama pasukan selain Mohamad Hafizi Maarof (apit kiri dan kanan) dan pemain Sukma, Muhammad Eqbal Shamsudin

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kedua-dua pemain yang beraksi di posisi tekong itu dibawa masuk setelah format pertandingan pada tahun ini tidak menggunakan khidmat pemain import.

“Sebagaimana kita maklum bahawa tiada pemain import dibenarkan oleh kerana wabak covid-19. Maka bagi pemilihan pemain untuk tahun ini, kita mendaftarkan sepenuhnya tempatan tempatan.

“Polisi yang diperkenalkan oleh GASTAK adalah jumlah pemain yang anak kelahiran negeri (Kelantan) mesti lebih 50 peratus daripada keseluruhan pemain dalam pasukan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan barisan pemain dan pegawai Kelantan Warriors di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan merangkap Presiden GASTAK, Zuraidin Abdullah, Timbalannya, Tengku Adnan Tengku Burhanuddin dan pengurus pasukan, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan.

Kelantan Warriors turut menamakan bekas pemain negeri, Baharil Anuar Che Mamat selaku ketua jurulatih dibantu Mohd Ashraf Mamat selain Suhari Nordin bertindak selaku penasihat teknikal pasukan.

Jelas Wan Roslan lagi, pada musim lalu, Kelantan Warriors berjaya menamatkan kempen STL di tangga kelima keseluruhan selain turut layak beraksi di pentas STL Champions Cup.

“Pihak pengurusan dan persatuan telah menjalankan analisa sepanjang tahun lalu dan mengenalpasti kelemahan dan kekurangan yang ada dalam pasukan. Oleh itu, bermula Februari lalu, kita telah melakukan persiapan termasuk membawa pemain berlatih dan beraksi dalam perlawanan persahabatan di Indonesia.

“Saya berharap senarai pemain yang diberikan kepercayaan ini dapat membawa dan menggalas harapan para penyokong dan berjuang sepenuh hati demi lencana di dada,” katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: