Uncategorized

The North Face – Malaysia Mountain Trail Festival 2019 (TNF-MMTF 2019) pada tahun ini mempunyai jumlah penyertaan yang lebih ramai di mana lebih daripada 2,100 pelari dari 35 negara telah berkumpul di Taiping, Perak untuk perlumbaan yang bermula dari 13 hingga 15 Disember 2019.

TNF-MMTF menyediakan empat kategori untuk pelari denai (13KM, 25KM, 55KM dan 84KM) untuk menguji ketahanan fizikal pelari di laluan yang amat mencabar bertempat di Bukit Larut, Taping yang mempunyai pelbagai ketinggian iaitu 610 meter, 1,440 meter, 3,250 meter dan 5,290 meter mengikut kategori yang ditetapkan.

Kategori 13km adalah jarak yang sesuai untuk pelari ditahap awal yang juga dikenali sebagai “Freshman Run”, sementara jarak baru iaitu 25KM dikenali sebagai “Ball Breaker Run”. TNF-MMTF juga menawarkan dua versi Cabaran Ultra iaitu 55KM dan 84KM.

Kategori perlumbaan 25KM, 55KM dan 84KM telah diperakui oleh International Trail Running Association (ITRA) dan telah dimasukkan ke dalam senarai perlumbaan yang layak untuk perlumbaan ‘Ultra Trail du Mont Blanc’ (UTMB) yang terkenal di dunia.

Bagi kategori Terbuka Lelaki 84km, pelari Denmark Kristian Joergensen, 35, menungguli saingan apabila melintasi melepasi garisan penamat dengan catatan masa 10:22:24.

Aksi peserta yang sememangnya memerlukan stamina dan kesabaran yang tinggi.

Jelasnya, kemenangan ini amat bermakna kerana ini adalah siri kejohanan ATM dan terdapat banyak pelari yang hebat.

“Saya agak terkejut dengan kemenangan ini, latihan dengan tekun dan badan saya dalam keadaan yang cergas, jadi saya pun menyertai perlumbaan ini dan saya berasa sangat puas. Laluan ini sangat sukar, tetapi juga sangat istimewa dan indah kerana dapat mengharungi hutan dan rimba.

“Pengalaman paling indah adalah apabila matahari mula terbit dan haiwan mula bangun dari tidur, dan kendengaran bunyi burung berkicauan serta menyaksikan haiwan berkeliaran di sekitar habitat mereka, ” ujarnya.

Pemenang kategori Terbuka Wanita 84km pula milik  Veronika Vadovicova, 29, dari Slovakia dengan catatan masa 11:34:42 saat untuk mengumpul mata yang mencukupi untuk menentukan kedudukannya sebagai Juara Baru Kejohanan Asia Trail Master.

“Sangat sangat gembira dengan kedua-dua kemenangan ini. Perlumbaan semalam adalah salah satu penyertaan saya yang terbaik pada tahun ini, jadi ia menjadikan tahun ini sempurna. Laluan ini sangat mencabar dan menyukarkan. Terdapat banyak pendakian, tetapi ia sangat sesuai dengan saya dan saya berasa senang sepanjang masa,” tegasnya.

Usaha dan penat lelah berbaloi apabila tiba digarisan penamat.

Penganjur TNF-MMTF dari MMTF Consultant, Ewegene Tan berkata, selepas kejayaan menganjurkan Malaysia Mountain Trail Festival yang pertama pada tahun 2018, larian denai bukanlah satu-satunya agenda di TNF-MMTF, sasaran utama adalah untuk mengumpulkan komuniti pelari denai dari seluruh dunia melalui larian, muzik dan makanan di lokasi rasmi, Spritzer EcoPark.

“Kami telah menerima jumlah penyertaan yang luar biasa tahun ini, dan kami berbangga dengan semua pelari yang telah berjaya sampai di Taiping dan juga menamatkan perlumbaan. Daripada 2,100 pelari, lebih daripada 1,800 adalah rakyat Malaysia.

“Ini membuktikan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia yang menjalani gaya hidup aktif sambil melancong dalam negara untuk menikmati keindahan tanah air mereka,” tambahnya.

TNF-MMTF kali ini juga adalah Perlumbaan Akhir Musim bagi siri Kejohanan Asia Trail Master (ATM) 2019, di mana juara ATM baru juga dinobatkan di Taiping. Ini telah menaikkan taraf larian denai ultra atau larian “ultra-trail” ke tahap yang lebih tinggi di Malaysia, kerana terdapat beberapa pesaing ternama, termasuk beberapa pelari dari Malaysia, yang telah bersaing untuk mata ATM sepanjang tahun ini di 14 negara Asia.

TNF-MMTF dianjurkan oleh MMTF Consultant, Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Spritzer, Yayasan Keamanan Global Perdana dan Larut Matang Hash House Harriers dan Harriets.

Pihak penganjur TNF-MMTF turut bersemangat untuk mempromosikan kemajuan ekonomi sosial yang pesat negeri Perak dan Taiping; yang pernah menduduki tangga tiga teratas sebagai Bandar Lestari di dunia atau ‘Top 3 Sustainable Cities in the world.’

Pengarah Penyelidikan & Pembangunan dari Spritzer, yang juga merupakan penaja tempat perlumbaan dan penganjur bersama TNF-MMTF 2019, Dato ‘Chuah Chaw Teo, berkata, Spritzer sangat gembira menjadi penganjur bersama dalam acara berprestij ini yang menerima peserta daripada 35 buah negara dari seluruh dunia di sini.

“Spritzer memang sentiasa menyokong kelestarian, dan acara TNF-MMTF ini sejajar dengan nilai teras kemampanan kami; iaitu berharmoni dengan alam semulajadi serta persekitarannya. Ini adalah aspirasi kami untuk memberi pengetahuan kepada orang ramai bahawa kami menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat kami dengan melindungi alam sekitar dan memastikan apa sahaja yang kami lakukan adalah untuk melindungi alam dan berharmoni dengan alam semula jadi.

“Ini adalah faktor utama bagi kami membuat pelaburan membina Spritzer Ecopark yang telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 2015 agar alam semulajadi dan persekitarannya dapat dinikmati,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: