
KIRA-KIRA 364 atlet dan pegawai bakal mengambil bahagian dalam 16 jenis sukan merangkumi 367 acara daripada keseluruhan 910 acara yang dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN di Filipina bermula 18 hingga 25 Januari depan.
Ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, setakat ini, semua program latihan atlet berjalan seperti yang dirancang.
“Prospek untuk kita mendapat pingat itu memang seperti yang disasarkan namun sasaran pingat sebenar biarlah Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) umumkan pada 13 Januari ini ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan kesemua atlet pada Kem Latihan Akhir Kontinjen Negara ke Sukan Para ASEAN di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini.
Dalam isu berkaitan, beliau menjelaskan kontinjen negara agak resah menjelang temasya berkenaan.
Apa tidaknya, isu masalah logistik berkemungkinan menjadi kebimbingan utama buat atlet yang mengambil bahagian.
Malah katanya, pemerhatian mereka di Filipina ketika kunjungan pada Ogos lalu mendapati penganjur menjanjikan bas mesra orang kurang upaya (OKU) yang boleh memuatkan empat kerusi roda dalam sebuah bas.
“Masalah akan berlaku jika jadual pertandingan bermula di awal pagi. Bayangkan jika ada 10 bas sahaja dan penyertaan atlet seramai 200-300 orang, ini pastinya menimbulkan masalah nanti,” katanya resah dengan perjalanan atlet sepanjang kejohanan berlangsung.
Terkini, penganjur Sukan SEA ke-30 di Filipina berdepan pelbagai isu daripada negara peserta terutama sekali membabitkan isu logistik dan makanan halal namun Pengarah Bahagian Paralimpik MSN, Halimon Mohamad Sood berkata pihaknya sudah menyediakan pelan alternatif dengan penyediaan 2,000 pek makanan segera Brahim’s.
Sukan Para ASEAN kesembilan yang diadakan di Kuala Lumpur, dua tahun lalu menyaksikan kontinjen negara menduduki tempat kedua keseluruhan dengan merangkul 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa
Add Comment