MALAYSIA mencerahkan laluan ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 selepas menewaskan cabaran Thailand, 2-1 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Turun dengan memburu kemenangan kedua pada aksi keempat pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 , skuad bimbingan Tan Cheng Hoe bagaimana pun dikejutkan gol awal hasil jaringan Chanathip Songkrasin pada minit ke enam.
Gol tersebut nyata mengejutkan Harimau Malaya yang terus bangkit mempamerkan corak menyerang dan bertahan untuk menafikan serangan Thailand yang diterajui pemain berpengalaman, Teerasil Dangda.
Usaha berterusan Harimau Malaya memburu gol akhirnya menjelma pada minit ke 25 melalui Brendan Gan yang menyempurnakan hantaran lintang Syamer Kutty untuk menewaskan Siwarak Tedsungnoen.
Memasuki babak kedua, Harimau Malaya mula mempamerkan taring sebenar apabila terus melakukan asakan menyebabkan pemain pertahanan pelawat melakukan beberapa kesilapan yang membuka ruang Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid memburu gol kedua.
Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh nyata menceriakan kira-kira 39,363 penyokong apabila mengegarkan jaring lawan pada minit ke 56 untuk membolehkan Malaysia mendahului lawan 2-1.
Asakan berterusan pelawat yang memburu gol penyamaan nyata tidak kesampaian sehinggalah wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan, Ali Sabah Al Qaysi dari Iraq untuk memuktamadkan tiga mata buat Malaysia.
Add Comment