Uncategorized

Gagal Piala AFC B-19 2020, Jurulatih Thailand minta dipecat



Issara Sritharo Foto: Goal.com Vietnam

SEBAGAI raja bola sepak di Asia Tenggara, pasukan Thailand dalam semua peringkat, termasuk Thailand B-19, selalu mendapat sasaran tinggi dalam setiap pertandingan yang disertai.

Sasaran itu kadangkala menjadi beban di bahu pemain dan jurulatih

Itulah yang dialami oleh Issara Sritharo, pengendali  Thailand B-19.

Issara Sritharo gagal menghantar anak buahnya menembusi pusingan akhir  Piala AFC B-19 2020.

Pasukan Gajah Perang harus menerima kenyataan hanya berada di kedudukan ketiga kumpulan G yang dihuni lima pasukan.

Pasukan Thailand B-19 hanya mampu mengutip  enam mata daripada empat perlawanan.

Mereka berada di bawah pasukan Malaysia, yang muncul juara Kumpulan G, serta Kemboja di tangga kedua dan menunggu peluang apakah boleh merebut tiket ke pusingan akhir berdasarkan kedudukan naib juara terbaik keseluruhan.

Kegagalan ini seolah-olah melenyapkan kemenangan sensasi 21-0 yang dihasilkan ketika membelasah Kepulauan Mariana Utara pada 6 November lalu.

Tetiba, dua hari selepas itu secara mengejut Thailand B-19 tumbang 1-2 kepada Kemboja.

Malah, pada aksi terakhir semalam, mereka tewas lagi 0-1 kepada Malaysia.

Atas rasa tanggungjawab di sebalik kegagalan ini, Issara Sritharo meminta Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengakhiri kontraknya lebih awal sebagai jurulatih Thailand B-19.

“Pertama, saya minta maaf kepada seluruh peminat bola sepak Thailand. Kami gagal mencapai sasaran,” kata Issara Sritharo, dipetik dalam laman web rasmi FAT.

Katanya, semuanya tak berjalan seperti dirancang, dan dia memohon maaf atas segala kesalahan dilakukan.

“Pemain sudah melakukan yang terbaik. Kami sedih dan kecewa kerana gagal (layak ke pusingan akhir),” tambah Srithato.

Kegagalan melepasi peringkat kumpulan kali ini cukup mengaibkan Thailand kerana merupakan negara ketiga yang paling banyak bermain di pusingan akhir Piala AFC B-19, di belakang Korea Selatan (38) dan Jepun(37).

Sejak edisi 1959 hingga 2018,  Thailand B-19 tampil sebanyak 33 kali.

Bahkan di edisi terakhir Piala AFC B-19 2018 yang berlangsung di Indonesia, Thailand mampu menembusi suku akhir. Ketika itu, Thailand B-19 juga dilatih Issara Sritharo.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: