Bola Sepak • Terkini

Perak FA giat anjur kursus pembangunan pengadil


USAHA memperkukuh pembangunan pengadil bola sepak di negeri Perak diteruskan menerusi penganjuran Kursus Instruktor Pengadil Bola Sepak Perak 2026 yang berlangsung pada 24 dan 25 Oktober 2026 di Intan Villa Farmstay, Teluk Intan, Perak.

Program anjuran Jawatankuasa Pengadil Perak FA dan Persatuan Pengadil Bolasepak Perak (PFRS) ini telah dirasmikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) merangkap EXCO Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Mohd Azhar Jamaluddin. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengadil PAFA, Encik Mohd Rizairi Jamaluddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Pengadil PAFA turut mencipta pencapaian tersendiri menerusi penerbitan Manual Kepengadilan Bola Sepak Perak, yang disifatkan sebagai manual pengadil pertama di Malaysia.

Manual ini menjadi panduan rasmi yang merangkumi struktur organisasi, bidang tugas, status dan kelayakan pengadil serta kadar bayaran bagi memastikan pengurusan kepengadilan lebih sistematik, telus dan profesional.

Penganjuran kursus ini bertujuan melahirkan instruktor pengadil yang kompeten, meningkatkan kemahiran dalam penyampaian latihan dan bimbingan serta menyeragamkan kefahaman terhadap Undang-undang Permainan. Usaha ini penting bagi memastikan pembangunan pengadil dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan menyeluruh di seluruh negeri Perak.

Dato’ Haji Mohd Azhar menegaskan kepentingan peranan instruktor dalam melahirkan pengadil yang berpengetahuan, berdisiplin dan berintegriti. Kualiti pengadilan bukan sahaja bergantung kepada penguasaan undang-undang permainan, malah memerlukan bimbingan berterusan, pendedahan yang tepat serta kesediaan untuk terus meningkatkan ilmu dan kemahiran.

PAFA berharap kursus dan penerbitan manual ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu pengadilan serta melahirkan lebih ramai instruktor berkualiti demi kemajuan bola sepak Perak pada masa hadapan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment