
Pelumba berusia 19 tahun itu berdepan kesukaran mencari rentak optimum dalam keadaan litar yang mencabar, sekali gus menyaksikan beliau memulakan perlumbaan dari petak ke-25.
Bagaimanapun, peluang untuk memperbaiki kedudukan pada hari perlumbaan tidak kesampaian apabila semua perlumbaan kategori MotoGP terpaksa dibatalkan susulan keadaan cuaca buruk.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi GP Malaysia, Hakim Danish kini bersedia untuk melupakan kekecewaan tersebut dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlumbaan di laman sendiri.
GP Malaysia menjadi antara perlumbaan penting buat pelumba kelahiran Terengganu itu, bukan sahaja untuk mengutip mata kejuaraan, malah untuk membuktikan kemampuan bersaing di hadapan puluhan ribu peminat Malaysia yang dijangka membanjiri Litar Sepang.
Pada penampilan terdahulunya di litar sama menerusi tiket wildcard, Hakim Danish menunjukkan potensi yang membanggakan apabila berjaya melayakkan diri secara automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2) sebelum memulakan perlumbaan dari petak ke-12.
Bagaimanapun, peluang untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik tidak kesampaian apabila jentera yang ditungganginya mengalami masalah teknikal ketika perlumbaan berbaki lima pusingan.
Menghadapi persaingan sengit dalam kategori Moto3, Hakim Danish kini memberi perhatian khusus kepada sesi latihan bebas dan kelayakan bagi memastikan beliau dapat memperoleh kedudukan permulaan yang lebih kompetitif.
ZK Racing percaya GP Malaysia bakal menjadi pentas penting buat Hakim Danish untuk memperlihatkan perkembangan dan kematangannya sepanjang musim pertamanya dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
Dengan sokongan padu peminat tempatan serta persiapan yang rapi, Hakim Danish bertekad untuk memberikan persembahan terbaik dan memburu keputusan positif pada perlumbaan di laman sendiri.











Add Comment