
HASRAT Kelantan Red Warrior FC untuk bersaing dalam saingan Liga Super 2026-2027 tidak kesampaian apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah memutuskan hanya 12 pasukan akan bersaing merebut kejuaraan yang bakal membuka tirai pada 21 Ogos ini.
Bagaimanapun KRW FC masih berpeluang untuk menyertai Liga Super 2026-2027 seandainya PDRM FC yang diberikan slot gagal mematuhi keperluan Kriteria Kewangan serta Kriteria Infrastruktur.
Kelab yang telah mengesahkan penyertaan adalah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.
MFL menerusi kenyataan media memaklumkan baki satu lagi slot akan diketahui pada 16 Julai 2026 apabila badan bebas First Instance Body (FIB) akan bersidang dalam menentukan status PDRM FC.
“Kelab itu telah diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai 2026 bagi mengemukakan maklumat tambahan untuk memenuhi keperluan Kriteria Kewangan serta Kriteria Infrastruktur.
“Keputusan FIB ke atas status PDRM FC ini juga akan turut diambil pertimbangan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL yang akan melihat secara menyeluruh tahap kesediaan dan kelangsungan kelab itu untuk menguruskan operasi sepanjang musim 2026-2027.
“Sekiranya PDRM FC gagal dalam penyerahan maklumat berkenaan, slot satu lagi pasukan Liga Super 2026-2027 bakal diisi kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC”, ujar kenyataan tersebut.
Kelantan Red Warrior FC yang menduduki tangga ke-4 Liga A1 musim lalu itu telah melengkapkan segala dokumen bagi kriteria kewangan serta dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC (ke-6 Liga A1) dan Bunga Raya FC (ke-12 Liga A1) yang turut mengemukakan permohonan selepas mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB.
Bagaimanapun, satu lagi kelab Liga A1, Armed Forces FC tidak memohon untuk bertanding dalam Liga Super 2026-2027.
Tambah kenyataan tersebut, penyertaan 12 kelab bagi musim 2026-2027 dilihat dapat memberikan impak positif kepada ekosistem liga kerana hanya kelab yang benar-benar memenuhi syarat pelesenan, kewangan dan infrastruktur layak bertanding.
“Ini akan membantu memastikan setiap perlawanan lebih kompetitif dan berkualiti.
“Pengurangan bilangan pasukan mengurangkan risiko penyertaan kelab yang tidak bersedia dari segi kewangan dan ini selari dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) yang memberi fokus kepada pengurusan kewangan berhemah, pembayaran gaji yang konsisten dan kelangsungan operasi kelab.
“Selain itu, ia dilihat dapat mengurangkan bebanan kos operasi dan pengurusan kelab susulan pengurangan perlawanan serta penjadualan perlawanan yang lebih tersusun.
“Ini jelas selari dengan keutamaan MFL dalam membina liga yang lebih berkualiti, mampan dan berdaya saing bagi memberikan nilai terbaik kepada penyokong, rakan penaja, penyiar serta semua pihak berkepentingan,” tegasnya.
Sementara mengenai perjalanan Liga Malaysia 2026-2027 pula, MFL telah menyusun kalendar Liga Malaysia satu musim yang penuh dengan tirai saingan akan dibuka dengan perebutan Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara juara Liga Super, JDT dan naib juara Kuching City FC dalam Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos 2026.
Perlawanan ini juga adalah aksi pertama Liga Super 2026-2027 dengan keputusan perlawanan akan dikira dalam saingan liga yang akan berakhir pada 23 Mei 2027.
Bagi kejohanan Piala FA pula, saingan dijadual bermula pada 1-2 September 2026 sehingga aksi final pada 16 Januari 2027 manakala saingan merebut trofi berprestij Piala Malaysia pula akan bermula pada 22-24 Januari 2027 dengan kemuncaknya akan berlangsung pada 30 Mei 2027.
Pertandingan MFL Challenge Cup pula akan bermula pada 10-11 Februari 2027 dan final dua pusingan pada 11 dan 18 April 2027.
Walaubagaimanapun, sebarang perubahan dan pindaan Kalendar dan Jadual Pertandingan Liga Malaysia musim 2026-2027 adalah tertakluk kepada MFL.











Add Comment